Suami mangsa sambut Gawai di tebing sungai
BELAGA, SABTU, 01 Jun, 2013: Lima hari sudah berlalu, namun seorang wanita hamil lima bulan, Roslin Jati, 34, salah seorang penumpang yang hilang dalam tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang, dekat sini Selasa lalu masih belum ditemui.
Hari ini, ketika insan lain menyambut Gawai bersama keluarga, suami mangsa, John Soon Hock Chiong pula sudah kering air mata menangisi kehilangan Roslin, sekadar mampu menunggu di tebing sambil merenung kosong Sungai Rajang yang mengalir deras.
John, 39, sanggup meredah perjalanan selama lebih tiga jam dari rumah panjang yang terletak di Nanga Metah, Kapit ke lokasi tragedi iaitu berhampiran Jeram Tukok/Jeram Bungan dengan hanya menaiki sebuah perahu kecil.
Paling mengharukan, bapa kepada tiga cahaya mata itu sebenarnya tidak pernah gagal hadir di lokasi tragedi sejak hari kejadian.
Lelaki itu juga kadangkala dilihat mudik perlahan-lahan di sepanjang sungai bersama beberapa rakan dengan harapan mahu menjadi orang terawal yang menemukan mangsa.
"Setiap hari kira-kira pukul 6 pagi, saya akan turun ke sungai dan bertolak ke lokasi kejadian. Kos perjalanan memang mahal kerana perjalanan agak jauh.
"Saya menghabiskan RM168 sehari bagi membeli tiga tong minyak diesel. Tidak mengapalah, yang penting saya tiba di lokasi dan mengetahui perkembangan terkini operasi mencari isteri," katanya ketika ditemui di sini.
Ditanya mengenai sambutan Gawai, John sekadar tunduk sambil memberitahu, perayaan itu sudah tidak bermakna memandangkan wanita yang dikahwininya sejak 14 tahun lalu belum ditemukan.
Malah, katanya, tiga anak mereka yang kini dijaga saudara mara di Kapit sering menangis terkenangkan Roslin.
"Bagaimana saya mahu sambut Gawai kalau isteri masih dalam air," katanya.
Dia yakin yang Roslin sebenarnya terperangkap di bawah bangkai bot yang karam.
Sementara itu, difahamkan usaha mencari dan menyelamat mangsa hilang di sepanjang Sungai Rajang diteruskan walaupun operasi di sekitar lokasi terutama membabitkan kerja-kerja mengapungkan bangkai bot ditangguhkan.
Setakat pukul 3 petang ini, polis mengesahkan jumlah terkini mangsa terselamat adalah seramai 204 orang manakala tiga lagi masih hilang iaitu Roslin, Maurice Ajan serta seorang lelaki dikenali sebagai Paulus. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment