Sasar 100% pemulihan banduan
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan untuk mencapai 100 peratus tahap pemulihan ke atas banduan sekali gus mengelak berlakunya kes banduan dikenakan hukuman berulang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, tahap pemulihan ke atas banduan adalah sekitar 94 peratus dan bagi tujuan tersebut, Jabatan Penjara akan menilai semula modul pemulihan sedia ada.
Selain itu, kata beliau, strategi lautan biru antara Jabatan Penjara dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipertingkatkan lagi kerana kerjasama sebelum ini ternyata berkesan dalam membantu pemulihan ke atas banduan.
Katanya, antara tumpuan utama yang bakal diberi perhatian dalam usaha mencapai 100 peratus pemulihan itu ialah dengan mengadakan kursus keusahawan termasuk menyediakan modal awal untuk bekas banduan menceburi perniagaan.
"Usaha mencapai 100 peratus pemulihan itu seiring dengan hasrat kementerian untuk menaik taraf penjara sedia ada terutamanya yang melebihi kapasiti termasuk memperkenal sistem keselamatan elektronik," katanya selepas melawat Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment