My Add

Saturday, 1 June 2013

Serang pembantu khas diraja: Dua warga Malaysia ditahan

ALOR SETAR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Polis Thailand menahan dua lelaki Malaysia bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan pembantu khas Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dalam kejadian di sebuah resort lima bintang di Phuket pada Rabu lalu.

Lelaki berusia lingkungan 40-an terbabit ditahan bersama tiga lagi individu yang mana dua daripadanya merupakan isteri mereka dan seorang lagi lelaki warga tempatan kira-kira pukul 3 petang di pekan sempadan Danok berhampiran Bukit Kayu Hitam semalam.

Pegawai Penyiasat Kanan Polis Daerah Sadao, Mejar Phaiphana Phetyen berkata, bertindak atas maklumat rakan sejawat mereka di Phuket, sepasukan polis menyerbu sebuah hotel dan menahan salah seorang lelaki warga tempatan di Pekan Danok.

"Susulan tangkapan itu, polis kemudian melancarkan gerakan dan menahan empat lagi individu terdiri daripada dua lelaki warga Malaysia dan masing-masing dua wanita warga Thailand dipercayai isteri kepada suspek terbabit.

"Polis turut menemukan wang tunai 14,000 Baht (RM1,432) dan wang Malaysia berjumlah RM500 serta sebuah kereta Honda Civic yang dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri selepas menyerang mangsa di Phuket pada 28 Mei lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu, pembantu khas terbabit, Mohd. Sobri Said cedera dipukul empat lelaki ketika memasuki bilik kediaman di resort berkenaan kira-kira pukul 10 malam.

Difahamkan, bilik hotel tersebut sepatutnya didiami oleh Tunku Annuar tetapi Mohd. Sobri menyarankan agar menukar bilik dengannya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tunku Annuar yang merupakan adinda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berada di Phuket sejak 27 Mei lalu bagi menghadiri persembahan sebuah taman tema. Rombongan berkenaan menempah 10 bilik hotel di Patong Millennium Resort.

Phainapha berkata, berdasarkan siasatan awal, seramai tiga lagi warga Malaysia yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut meloloskan diri melalui Bukit Kayu Hitam awal pagi semalam.

"Motif serangan masih dalam siasatan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ada kaitan dengan dendam peribadi antara suspek dengan mangsa," katanya.

Sementara itu, Pengelola Bijaya Diraja dan Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah ketika dihubungi berkata, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan rombongan berangkat pulang dengan pesawat Malaysia Airlines dari Phuket ke KLIA kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

"Baginda juga pulang ke Alor Setar petang ini dan dijadualkan menghadiri majlis jamuan teh sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Kediaman Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Anak Bukit esok.

"Selain itu, semua ahli rombongan termasuk Mohd. Sobri juga telah pulang dengan selamat ke Alor Setar semalam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment