Sindiket Fly By Night ditumpas
SHAH ALAM, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket fly by night yang beroperasi sejak 2010 dengan tertangkapnya tiga lelaki di Raub, Pahang pada Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, kesemua suspek berusia 32 hingga 60 tahun itu berasal dari Lembah Klang ditahan dalam serbuan sebuah syarikat yang beroperasi di Pusat Perdagangan Raub hasil maklumat orang awam.
Beliau berkata, sindiket yang mula beroperasi sejak Oktober 2010 sehingga 24 Disember 2010 di Kuala Selangor itu menggunakan nama syarikat Sri Alam Trading dan melibatkan jumlah kerugian para pelanggannya sebanyak RM500,000.
Menurut beliau, modus operandi yang digunakan oleh kumpulan terbabit ialah dengan mendaftarkan syarikat tersebut dan membuka premis perniagaan.
"Mereka kemudian akan memesan barangan dari mangsa dan meminta tempoh kredit sehingga 90 hari, sekiranya pembekal tidak bersetuju, mereka akan membeli barangan dalam kuantiti kecil secara tunai untuk meyakinkan mangsa sebelum akhirnya mengeluarkan cek bertarikh dua atau tiga bulan berikutnya.
"Suspek kemudian akan bertindak dengan menutup perniagaan mereka dan menghilangkan diri sebelum tempoh kredit tamat," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Thaiveegan berkata, mangsa hanya menyedari mereka ditipu setelah pihak bank memaklumkan bahawa cek yang dikeluarkan merupakan cek tendang.
"Antara barangan yang dipesan oleh suspek seperti barangan pembinaan, serbuk rempah kari, barangan elektrik, papan sarang burung, mesin kimpalan, peralatan pejabat dan lain-lain lagi.
"Polis menerima sebanyak 40 kes melibatkan sindiket itu sejak 2010 sehingga kini selain turut melibatkan 18 kes penipuan yang sama di Sitiawan dan Ipoh, Perak," katanya.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan seorang lelaki, Ooi Guan Hock, kad pengenalan bernombor 480904-07-5669 bagi membantu siasatan.
"Alamat terakhir lelaki ini adalah di C-G-07, Jalan SP 5/5, Seksyen 5, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohammad Adam di talian 03-55146659 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Ketiga-tiga suspek yang ditahan kini direman selama empat hari sehingga 2 Jun ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment