My Add

Sunday, 7 July 2013

100,000 unit rumah dirancang dibawah PPA1M - KSN

 KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Julai, 2013: Sebanyak 100,000 unit rumah dirancang dibina di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan strategik termasuk di bandar-bandar dan ibu kota untuk memperluas program itu.

"Selain Putrajaya, kerajaan akan mencari kawasan strategik di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar termasuk Sabah dan Sarawak. Program ini akan dilaksana sebaik mendapat kelulusan pihak berkaitan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PIBG, bangunan pentadbiran dan kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama di sini.

Dr Ali berkata jumlah itu termasuk program PPA1M membabitkan pembinaan sebanyak 10,366 unit rumah di Putrajaya yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, April lepas.

Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 dan keluasannya pula adalah antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Beliau mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam. 

Sementara itu, beliau berkata sambutan kakitangan awam terhadap PPA1M amat menggalakkan dengan program itu di Putrajaya menerima 105,000 permohonan.

Program PPA1M membabitkan kerjasama antara kerajaan dan swasta iaitu pembeli yang ditawarkan PPA1M tidak perlu membayar rumah mereka mengikut kemajuan pembangunan tetapi selepas projek siap sepenuhnya.

Pada majlis itu, Yayasan Usima menyumbangkan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah, Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang melengkapkan bangunan kantin baru dengan kerusi dan meja makan manakala Cypark Resources Bhd menyumbangkan sebanyak 20 panel solar bagi projek solar sekolah.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Rohani Abdullah; Yang Dipertua PIBG, Datuk Zainal Abidin Sakom; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Abd. Shukor Ibrahim; Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud; dan Pengetua SMK Damansara Utama Zulaika A. Rahman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment