My Add

Sunday 7 July 2013

200 ditahan oleh skuad tangkap pengedar dadah

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, AHAD, 07 Julai, 2013: Skuad khas memburu jerung-jerung dadah telah berjaya menahan lebih 200 pengedar dadah di Kuala Lumpur dan Selangor sejak penubuhan pasukan itu diumumkan pada 4 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, skuad tersebut yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan memperluaskan operasi ke kawasan di luar Lembah Klang terutamanya di tiga negeri panas yang dikenal pasti iaitu Pulau Pinang, Johor dan Perak.

Ahmad Zahid berkata, selain menangkap pengedar dadah 'ikan bilis', polis turut diberi arahan untuk menjejak jerung dadah yang mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran antarabangsa.

"Saya mahu polis cari hingga lubang cacing pengedar dadah yang mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa di mana mereka menjadikan Malaysia sebagai tapak pengedaran terutamanya ke Indonesia dan Australia.

"Kita tidak bertoleransi dengan pengedar dadah skala kecil atau besar. Kita akan menguatkuasakan semua peruntukan yang ada dalam Akta Dadah Berbahaya,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Antidadah Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Daud Tahir dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Zuraidah Mohamed.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, arahan turut dikeluarkan kepada pucuk pimpinan agensi di bawah kementerian supaya tidak berlembut dengan pegawai yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dadah.

"Jika ada pegawai atau kakitangan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan atau penjara yang terlibat, mereka akan dikenakan tindakan paling keras mengikut undang-undang,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan melakukan penelitian terhadap isu daun ketum dan mungkin mengawal penggunaannya mengikut Akta Dadah Berbahaya jika keadaan memerlukan.

"Daun ketum dimasukkan ke dalam makanan dan boleh menyebabkan ketagihan, ia lazimnya digunakan di utara tanah air dan selatan Thai.

"Jika ia boleh menyebabkan ketagihan, maka Akta Dadah Berbahaya perlu merangkumi daun ketum. Ia boleh dilakukan melalui pindaan akta jika keadaan memerlukan,'' katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment