My Add

Friday 26 July 2013

1MDB, Jepun meterai perjanjian terbit bon Samurai

PUTRAJAYA, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Japan Bank for International Cooperation (JBIC) dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menerbitkan bon Samurai dengan jaminan JBIC.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Shinzo Abe menyaksikan majlis MoU itu yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Menurut Abe, berdasarkan MoU yang ditandatangani itu, JBIC merancang untuk mengkaji peluang menyediakan 1MDB dengan jaminan di bawah kemudahan Guarantee and Acquisition towards Tokyo Market Enhancement (GATE).

"Sekiranya berhasil, ia akan menjadi terbitan bon pertama yang diterbitkan oleh syarikat Malaysia dengan jaminan JBIC.

''Ia dijangka menyumbang kepada pengaktifan pasaran bon Samurai dengan menarik lebih ramai penerbit bon baharu," katanya.

Bon Samurai merupakan bon denominasi yen yang diterbitkan di Tokyo oleh kerajaan atau syarikat asing bagi menyokong usaha untuk mendapatkan akses yang lebih mudah kepada pasaran bon antarabangsa.

Menurut Abe, program itu dijangka memberi kelebihan kepada Malaysia dan Jepun untuk mengukuhkan lagi ekonomi dan sektor pelaburan.

Sementara itu, Toshiba Corporation dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) turut menandatangani MoU berhubung usaha menerokai pengenalan teknologi karbon ion radioterapi di negara ini.

Menurut Abe, MoU tersebut mempunyai dua fasa melibatkan penilaian kemudahan keseluruhan projek diikuti dengan sebuah kajian konsep reka cipta.

"Ia telah ditandatangani dalam sebuah rangka kerja melibatkan strategi eksport dan pakej infrastruktur perubatan yang diperkenalkan kerajaan Jepun.

"Karbon ion radioterapi merupakan peralatan paling berkesan untuk memerangi kanser, kita melihat peluang di masa hadapan untuk memperkenal sistem teknologi tersebut ke Malaysia," katanya ketika mengadakan sidang akhbar bersama Najib di sini, hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment