My Add

Friday 26 July 2013

Gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur

 * N TuIBmesyuarat dua hala Malaysia-Jepun di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Bernama
PUTRAJAYA, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Malaysia dan Jepun sepakat mengulangi komitmen untuk mengukuhkan lagi gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur dengan memperluaskan lagi skop hubungan tanpa terhad kepada bidang latihan dan pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selepas 30 tahun dasar tersebut menemukan kejayaan, fasa seterusnya memerlukan pelarasan hubungan kerjasama ke arah lebih meluas.

''Kita sepakat menerusi gelombang kedua ini untuk lebih ke hadapan dengan fokus yang lebih baik dan lebih berorientasikan ekonomi selaras dengan struktur transformasi ekonomi dan keutamaan kedua-dua negara.

''Kedua-dua kerajaan bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam bidang teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, perkhidmatan teknikal utama dan sektor pendidikan selain pembangunan membabitkan syarikat Malaysia dan Jepun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang sedang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra, di sini hari.

Terdahulu Abe yang diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana mengadakan mesyuarat bersama bagi berbincang mengenai hubungan dua hala, serantau serta antarabangsa termasuk soal ekonomi.

Kedua-dua pihak turut bersetuju membangunkan program utama khas yang memberi pulangan lebih spesifik untuk kedua-dua negara terutamanya mencapai objektif Program Transformasi Ekonomi (ETP) di pihak Malaysia.

Antaranya, pelaburan, perdagangan, teknologi hijau, pembangunan infrastruktur, kewangan Islam dan mempromosikan industri halal.

''Jepun kekal sebagai antara rakan dagang Malaysia terbesar di Asia Timur iaitu yang kedua selepas China dan ketiga di dunia pada 2012 dengan jumlah perdagangan bernilai RM145.32 bilion.

''Jepun juga adalah pelabur asing terbesar bagi tempoh 1980 hingga 2012 dengan nilai pelaburan AS$22 bilion (RM68.2 bilion) yang mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan," kata Perdana Menteri.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah program pertukaran belia melalui projek 'Malaysia: Negara Keduaku' (MM2H) dan Japan-East Asia Network of Exchange for Student and Youth 2.0 (JENESYS 2.0) selain mempelawa rakyat Jepun melancong ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Mengulas lanjut, Najib berkata, Malaysia menghargai kerjasama Jepun dalam membantu menggerakkan lagi fasa kedua dalam Projek Pembangunan Kapasiti 2013-2015 dengan memfokuskan pelindungan hak awam, gender dan kepelbagaian budaya.

''Kita berterima kasih kepada Jepun dalam menyumbang keperluan pembinaan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment