My Add

Wednesday 3 July 2013

20,000 menyalahgunakan pas lawatan

 
 * NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Simon Robertson ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Pengerusi HSBC Group itu di hotel penginapannya di London, semalam. - BERNAMA
LONDON, SELASA, 02 Julai, 2013: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom menyeru rakyat Malaysia yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja dan tinggal melebihi tempoh di negara ini tampil mendapatkan bantuan suruhanjaya itu bagi membolehkan mereka keluar dari United Kingdom melalui proses Imigresen biasa.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong berkata, pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia tidak mempunyai angka rasmi mengenai jumlah rakyat Malaysia yang tidak keluar dari United Kingdom setelah mereka memasuki negara ini.

Zakaria memberitahu wartawan Malaysia di sini semalam bahawa satu laporan menganggarkan terdapat 20,000 kes rakyat Malaysia menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tinggal melebihi tempoh dan bekerja secara haram di negara ini.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat mengesahkan ketepatan jumlah tersebut kerana pihak berkuasa imigresen di negara ini tidak berkongsi maklumat-maklumat seumpama itu dengan pejabat perwakilan asing," katanya.

Pada masa ini mana-mana pelawat dari Malaysia boleh memasuki United Kingdom selama enam bulan tanpa perlu memohon visa jika tujuannya adalah untuk lawatan sosial dan melancong.

Zakaria melahirkan kebimbangan pihak berkuasa United Kingdom berkemungkinan mengambil tindakan mengenakan peraturan visa yang ketat kepada pelawat-pelawat dari Malaysia sekiranya kes-kes penyalahgunaan pas lawatan sosial itu terus meningkat.

“Keadaan agak kritikal kerana daripada keseluruhan negara yang menikmati kemudahan bebas visa untuk masuk ke United Kingdom, Malaysia menduduki tempat ketiga paling banyak penyalahgunaan pas lawatan sosial. Dari segi keseluruhan negara, rakyat Malaysia berada di kedudukan 10 teratas," ujarnya.

Beberapa buah negara Afrika dan Caribbean yang merupakan anggota Komanwel telah pun kehilangan status istimewa tanpa visa ekoran kes-kes penyalahgunaan pas lawatan sosial oleh pelawat-pelawat dari negara-negara itu.

Tingkah laku para pelawat dari Malaysia yang menyalahgunakan kemudahan bebas visa selama enam bulan, kata Zakaria, kini dalam pemantauan tahunan pihak Imigresen United Kingdom.

Isu penyalahgunaan pas lawatan sosial rakyat Malaysia itu dipercayai akan turut mendapat perhatian dalam perbincangan semasa lawatan kerja empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke London bermula semalam.

Esok, Perdana Menteri akan menghadiri jamuan makan malam dan ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Hotel InterContinental di sini. Laporan Bank Dunia menganggarkan pada masa ini terdapat 70,000 orang rakyat Malaysia bermastautin di United Kingdom.

Najib dijadualkan mengadakan mesyuarat bilateral dengan Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron pada Khamis ini sebelum upacara pecah tanah projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea di selatan London.

Konsortium dari Malaysia iaitu SP Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terlibat sebagai pemaju projek bernilai 8 bilion pound sterling itu (RM40 bilion). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment