My Add

Wednesday, 3 July 2013

Misteri kehilangan suri rumah belum terjawab

Oleh Shahrinnahar Latib

 * MOHD. Riduan Abd. Razak bersama tiga orang anaknya, Nur Najwa Atirah (kiri), Nur Hanna Najihah (kanan) dan Hizal Hamzi yang sangat merindui ibu mereka yang tidak pulang sejak hilang di Felda Bukit Sagu 2 pada 22 Jun lalu. Ibu mereka, Nur Idayu Abd. Aziz (gambar kecil) dipercayai dilarikan empat warga Indonesia. - UTUSAN/Mahathir Ali
KUANTAN, SELASA, 02 Julai, 2013: Misteri kehilangan seorang suri rumah, Nur Idayu Abd. Aziz yang dipercayai dilarikan empat warga Indonesia dari rumahnya di Felda Bukit Sagu 2 di sini sejak 22 Jun lalu belum terjawab.

Ini kerana suaminya, Mohd. Riduan Abd. Razak, 34, percaya isterinya itu masih hidup dan dikatakan telah berada di negara seberang namun khabar mengenai wanita itu belum diterimanya.

Malah, juruteknik sebuah syarikat cari gali di Doha, Qatar itu menolak kemungkinan mayat seorang wanita yang dicincang dan dibakar dalam sebuah bungkusan plastik di jalan susur Goh Tong Jaya, Bentong baru-baru ini adalah isterinya.

"Saya yakin mayat yang ditemui di Goh Tong itu bukan isteri saya kerana polis memaklumkan mayat wanita itu berambut merah.

"Naluri saya percaya itu bukan dia dan sebab itu juga saya dan keluarga tidak datang mengecam mayat tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Nur Idayu, 34, dipercayai dilarikan empat warga Indonesia termasuk seorang wanita pada 22 Jun lalu yang diupah membuat pengubahsuaian rumah mertuanya di Felda Bukit Sagu 2.

Dua hari kemudian seorang lelaki yang mahu membuang air kecil di kawasan semak menemui bungkusan berisi mayat seorang wanita dicincang dan dibakar dalam sebuah bungkusan plastik di jalan susur Goh Tong Jaya, Bentong.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad memaklumkan polis belum menemui petunjuk mengenai identiti mayat itu.

"Polis masih menyiasat kes penemuan mayat ini dan setakat ini tiada sesiapa pun datang untuk membuat pengecaman mayat," katanya ketika dihubungi.

Ditanya sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan kehilangan Nur Idayu, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

"Setakat ini keluarga Nur Idayu belum datang untuk membuat pengecaman mayat walaupun sebelum ini pernah diuar-uarkan di dalam akhbar.

"Kita harap sesiapa sahaja yang kehilangan ahli keluarga tampil membuat pengecaman atau ujian DNA (asid deoksiribonukleik) di Hospital Tengku Ampuan Afzan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment