My Add

Monday 29 July 2013

80% kes Hepatitis B, C libatkan individu berumur 25-55 tahun

 * JEYAINDRAN Sinnadurai (dua dari kanan) memecahkan bongkah ais bagi mengeluarkan plak sebagai simbolik Perasmian Hari Hepatitis di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN, AHAD, 28 Julai, 2013: Lebih 80 peratus kes Hepatitis B dan C di negara ini membabitkan pengidap berumur dalam lingkungan 25 hingga 55 tahun, dengan 60 peratus merupakan penagih dadah jenis suntikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, data tersebut menunjukkan sesuatu yang malang bagi Malaysia kerana lingkungan umur itu merupakan kumpulan sangat produktif sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

"Statistik pada tahun lalu menunjukkan terdapat 2,637 kes-kes baharu dilaporkan dengan peningkatan berbanding 2010 iaitu 2.27 pesakit bagi setiap 100,000 penduduk kepada 8.99 bagi hepatitis B.

"Hepatitis C pula meningkat 2.56 kepada 5.91 bagi setiap 100,000 penduduk. Peningkatan kes adalah disebabkan arahan yang dikeluarkan kementerian supaya pengamal perubatan memaklumkan semua kes hepatitis akut dan kronik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. S. Jeyaindran pada perasmian Hari Hepatitis Sedunia peringkat kebangsaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail dan Pengarah HTAA, Datuk Dr. Marlia Mohammed Salleh.

Menurut Subramaniam, kesedaran awam amat penting mengenai virus tersebut kerana di seluruh dunia, lebih 500 juta orang dijangkiti dengan Hepatitis B dan C yang kronik dengan 1.4 juta orang mati setiap tahun akibat komplikasinya.

"Justeru, Malaysia sangat aktif mengadakan pelbagai kempen dalam usaha menggalakkan orang ramai melindungi diri mereka sendiri dengan memulakan pencegahan dan rawatan awal.

"Setiap tahun pada setiap 28 Julai akan diadakan sambutan Hari Hepatitis Sedunia dengan tujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai mengenai penyakit ini," jelasnya.

Tambahnya, kementerian juga menyeru ibu bapa memastikan anak-anak mereka mendapat pelalian tiga dos yang diberikan kepada bayi sejurus dilahirkan, ketika berusia sebulan dan enam bulan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment