My Add

Monday 22 July 2013

AEON, Utusan anjur Titian Amal Kasih Ramadan

* MISNADI Mat Piah (tiga dari kiri) serta Ketua Biro Utusan Johor, Luqman Haziq (dua dari kiri) bersama murid-murid SPK Princess Elizabeth yang menerima sumbangan sempena Titian Kasih Amal Ramadan anjuran AEON Big dan Utusan di Pasaraya AEON Big Pandan, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU, AHAD, 21 Julai, 2013: Sempena bulan Ramadan ini, pasar raya AEON Big Pandan turut membuat amal jariah dengan menyampaikan sumbangan kepada 170 penerima yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di sini hari ini.

Program Titian Amal Kasih Ramadan 2013 yang dianjurkan bersama dengan akhbar Utusan Malaysia dan turut mendapat kerjasama beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu memasuki edisi ketiga, namun masih mengekalkan objektifnya iaitu memberi sinar kebahagiaan kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Pengarah AEON Big Wilayah Selatan, Misnadi Mat Piah, antara penerima sumbangan sempena program itu adalah murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth; anak yatim daripada Madrasah Darul Fadhilah; Anak-Anak Yatim Nur Kasih, Kota Tinggi dan anak yatim daripada Pertubuhan Belia Bersatu Kampung Melayu.

"Kali ini kita turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 13 orang ibu tunggal yang bekerja dengan AEON Big. Ia bukanlah sumbangan besar, namun saya harap dapat meringankan beban mereka dan memberi sedikit sinar untuk menyambut kedatangan hari lebaran," katanya.

Kesemua penerima sumbangan menerima bantuan berupa barangan keperluan harian seperti bihun, biskut dan minyak masak bagi meringankan beban mereka semasa menyambut Aidilfitri.

Bagi memeriahkan program, penganjur turut mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk dengan sebanyak lima periuk di masak seawal pukul 8 pagi.

Tambah Misnadi, setiap program yang dirancang oleh AEON Big bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya, tetapi turut bertujuan merapatkan hubungan semasa insan tanpa mengira latar belakang dan status sosial.

Sementara itu, Guru Besar SKPK Princess Elizabeth, Nafisah Ismail ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak kerana bermurah hati menyampaikan sumbangan kepada 35 murid cacat penglibatan sekolahnya itu.

"Saya bersyukur kerana ada insan prihatin yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami di SKPK Princess Elizabeth. Sesungguhnya sumbangan ini sangat bermakna kepada kami dan didahulukan dengan ucapan berbanyak terima kasih," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment