My Add

Monday 22 July 2013

Patuhi harga siling ayam - Hasan Malek

Oleh Radhuan Hussain
 
 * HASAN Malek (duduk, dua dari kiri) turut sama bergotong-royong melapah lembu untuk dijadikan juadah berbuka puasa di Masjid al-Jamhuriah, Kuala Besut, Terengganu, semalam. - Utusan/AZLAN BAHRUM
BESUT, AHAD, 21 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak akan berkompromi dengan peniaga degil dan tamak yang enggan mematuhi ketetapan harga ayam standard RM7.70 sen sekilogram bermula 26 Julai ini.

Amaran serupa turut ditujukan kepada peniaga 20 barang kawalan lain sebaik sahaja bermulanya tarikh kuat kuasa harga itu yang dilaksanakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa selama 17 hari.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, sekiranya ada yang berdegil, mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kita sudah beritahu harga ayam yang ditetapkan ialah RM7.70 sen sekilogram mulai 26 Julai ini tetapi kalau peniaga sengaja menaikkan lagi harga itu selepas tarikh tersebut, kita tidak boleh lagi bertolak ansur.

"Kita bertegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM50,000 dan RM100,000 malah hingga mencecah RM500,000," katanya ketika ditemui pada program Gotong Royong dan Ramah Mesra di pekarangan Masjid Al-Jaumhuriah dekat Kuala Besut hari ini.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman serta pemimpin parti komponen BN lain di Besut.

Sehubungan itu juga Hasan berharap pengguna turut memberi kerjasama dengan melaporkan segera jika harga masih keterlaluan di tempat mereka.

Hasan berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan reaksi positif pelbagai pihak termasuk persatuan penternak dan peniaga ayam berhubung skim kawalan harga itu.

Pihaknya, jelas beliau, menerima sambutan menggalakkan terutama di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan yang ternyata menyokong kempen yang dilancarkan itu.

Beliau seterusnya menyambut baik dan berterima kasih kepada sebahagian peniaga yang memberi respons positif demi kepentingan pengguna. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment