My Add

Monday 29 July 2013

Ahli Pas berfahaman Syiah bukan isu baharu - Hafiz

PERMATANG PAUH, AHAD, 28 Julai, 2013: Pembabitan ahli Pas termasuk pemimpin kanan parti itu dengan fahaman Syiah bukan suatu perkara baharu tetapi telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Aktivis Pas Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, penularan fahaman Syiah dalam kalangan ahli Pas gagal ditangani oleh pucuk pimpinan parti sehingga menjadi semakin serius kini.

Malah tegasnya, satu kajian holistik perlu dilakukan memandangkan mereka yang berfahaman Syiah semakin berani menyebarkannya kepada umum.

"Pas perlu serius dalam usaha untuk membendung penularan fahaman Syiah dalam kalangan ahli mereka.

"Satu jawatankuasa perlu diwujudkan bagi menyiasat tentang ahli parti yang dikatakan berfahaman Syiah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Ihya Ramadan di Darul Wehdah di sini hari ini.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan dua pemimpin sebuah parti politik dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan fahaman Syiah di negara ini.

Mohamed Hafiz yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) menambah, Pas perlu serius dalam menangani isu Syiah kecuali parti itu membuat ketetapan untuk menerima fahaman tersebut.

"Pas kena nyatakan pendirian dalam isu ini dan kalau tidak menerima Syiah, usaha membanteras penularan fahaman tersebut perlu dilakukan.

"Malah bukan sahaja orang Pas tetapi semua pihak termasuk UMNO juga perlu bersatu hati dalam menangani isu yang membabitkan soal akidah umat Islam ini," tegasnya.

Ditanya berhubung penularan fahaman Syiah dalam Pas negeri, jelas beliau, penyebaran fahaman berkenaan agak serius dan ramai ahli Pas yang terlibat.

"Cuma saya tidak pasti status ahli mereka yang terlibat itu sekarang, kerana dahulu memang mereka ahli Pas tetapi bukan yang berjawatan penting di negeri ini.

"Malah kepimpinan parti juga seolah-olah tidak mengambil sebarang usaha untuk menyekat penularan fahaman berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment