My Add

Monday 29 July 2013

Jakim giat pantau pergerakan Syiah

KOTA BHARU, AHAD, 28 Julai, 203: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih giat mengadakan pemantauan bagi mengesan pergerakan Syiah di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, Jakim sentiasa mengadakan pemantauan di setiap negeri bagi mengetahui perkembangan mengenai pergerakan tersebut.

"Kita tiada jumlah yang khusus berhubung jumlah pengikut Syiah kerana bilangan mereka meningkat hampir setiap hari dan berbeza mengikut negeri.

"Sehubungan itu kita serahkan kepada Pejabat Jabatan Agama Islam negeri untuk menjalankan pemantauan bagi membantu mengesan kelompok yang terlibat," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Saudara Muslim Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli, Abim Kok Lanas di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh dan Pengerusi Outreach Kelantan, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik.

Dalam pada itu, Othman berkata, seramai 36 Orang Asli telah memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah pada majlis berkenaan.

"Mereka yang memeluk Islam itu terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Sri Wangi di Gua Musang," katanya.

Beliau berkata, Jakim turut menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Pendaftaran Mualaf bagi membantu menjaga kebajikan saudara baru di seluruh negara.

"Penubuhan jawatankuasa ini adalah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam negeri yang bertujuan membincangkan pelbagai isu serta pengurusan mereka," katanya.

Tambah beliau, selain penubuhan tersebut, Jakim juga sedang merancang membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai eMuallaf.

"Melalui sistem ini, semua maklumat yang berkaitan dengan saudara Muslim akan dapat dikumpul dalam satu capaian yang lebih mudah diakses," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment