My Add

Thursday 4 July 2013

Akta Kebankrapan 1967 dalam proses pindaan: Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata dengan pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan diperkenal kepada pemuitang untuk mendapatkan semula hutang berasaskan kepada kerangka perundangan insolvensi seperti perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.

Beliau berkata, draf rang undang-undang kebankrapan itu dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Peguam Negara.

"Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang dicadangkan adalah pelepasan secara automatik selepas kes ditadbir dalam suatu tempoh masa tertentu," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) berhubung cadangan kerajaan untuk meminda undang-undang bagi memudahkan seseorang yang muflis keluar daripada kemuflisan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi, seramai 246,357 individu telah diisytihar bankrap secara automatik dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen serta dilarang ke luar negara.

Subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) melarang individu yang diisytihar bankrap untuk keluar negara kecuali dibenarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, katanya.

Nancy berkata, berdasarkan akta sedia ada, terdapat tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah dan pembatalan melalui perintah mahkamah.

"Bagi pelepasan bankrap, pemohon boleh memfailkan permohonan di mahkamah bila-bila masa selepas dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman. Satu tarikh akan ditetapkan untuk mendengar dan memutuskan permohonan itu.

"Bagi pelepasan melalui sijil pelepasan, ia merupakan kuasa budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi. Bagi melayakkan dilepaskan, kes kebankrapan mestilah ditadbir melebihi lima tahun selain kriteria lain. Namun ia juga tertakluk kepada bantahan pihak pemiutang," katanya.

Beliau berkata, bagi pembatalan bankrap melalui perintah mahkamah pula, permohonan boleh dibuat sama ada apabila tuntutan telah dibayar sepenuhnya atau apabila fakta kes menunjukkan bahawa bankrap tidak sepatutnya dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman. - BERNAMA

1 comment:

  1. Kepada Kerajaan Malaysia,
    Kerajaan Malaysia yang terlalu memberi kuasa kepada bank menjadi penyebab kepada pengurusan tidak sempurna. Bank ialah punca utama seseorang individu menjadi ‘bankruptcy‘ atau muflis.
    Bank-bank di Malaysia boleh mengenakan caj dengan kadar faedah yang tinggi dan sesuka hati kalau masa anda tidak keupayaan membayar insuran bulanan. Ia tidak adil dan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa sehingga anda muflis. Malaysia kita tidak ada jabatan yang boleh membantu anda pada masa tersebut.
    Ia hanya menyebabkan bankruptcy meningkat saja tahun ke tahun. Tambahan pula bankruptcy laws di Malaysia akan menghukum seseorang muflis sampai boleh memusnahkan hidup seseorang. Dengan AKTA KEBANKRAPAN 1967, kita sangat jelas, ini kebanyakan disebabkan oleh kuasa bank yang keterlaluan.
    Bankruptcy laws di Malaysia memang boleh menyebabkan seseorang muflis dan melambatkan muflis untuk hidup semula. Di dalam undang-undang muflis, ada banyak syarat yang mengikat si muflis seperti tidak boleh berniaga sendiri, tidak boleh terima wang lebih RM500 dari orang lain (dikehendaki melapor kpd Jabatan Insolvensi Malaysia), tidak boleh keluar luar negara bekerja (pasport disekat), tidak dapat memegang jawatan tinggi di syarikat dan lain-lain. Ini semua memang akan menyekat seseorang muflis mendapat wang untuk pelepasan.

    Harap kerajaan kita sedar dan tidak membunuh masa depan seseorang muflis di Malaysia ini dan tidak membunuh sesama sendiri. Bankruptcy yang meningkat boleh diselesaikan jika Akta Kebankrapan 1967 boleh berubah mengikut masa sekarang, bukan akta kampung yang dulu. Untuk menjatuhkan seseorang menjadi bankrap hutangnya kalau melebihi RM150,000 ke atas. Harap juga yg telah dilaporkan bankrap pada masa sekarang akan dilepaskan secepat mungkin jika hutang tidak melebihi RM150,000. Inilah yang sempurna dan sesuai untuk masa kini.
    Kerajaan Malaysia memang kena mempertimbangkan seseorang yang telah jatuh bankrap kalau hutang tidak melebihi RM150,000 atau RM100,000 patut diberi peluang untuk pelepasan automatik pada awal tahun 2015 ini. Ianya sangat jelas, yang telah difailkan bankrupcy, akhir hutang akan ditambah oleh pihak bank dan hantar kepada JIM.
    Kalau seseorang dijatuhkan bankrap dengan jumlah hutang yang tinggi, mungkin dia ada niat untuk mendapat manfaat dari pihak bank atau kerajaan kita. Akhirnya saya sebagai wakil pihak muflis harap Kerajaan Malaysia kita dapat mempertimbangkan isu isu seperti ini.

    ReplyDelete