My Add

Thursday 25 July 2013

Alvin, Vivian dibenar ikat jamin RM30,000 seorang - Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan pasangan blogger, Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee May Ling yang didakwa memuat naik gambar serta komen yang menghina Islam, diikat jamin sementara menunggu perbiacaraan.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menetapkan pasangan itu masing-masing diikat jaminan RM30,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat kepada kedua tertuduh iaitu mereka dilarang mengulangi memuat naik gambar dan komen menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Mereka dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang menggunakan peranti komunikasi rangkaian yang boleh diakses kepada internet untuk memuat naik gambar dan komen sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah hari ini mendengar permohonan semakan semula kehakiman difailkan pasangan kontroversi itu berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen minggu lalu yang tidak membenarkan mereka dijamin.

Dengan keputusan Mahkamah Sesyen itu, Alvin dan Vivian masing-masing ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang sehingga kes terhadap mereka dibicarakan mahkamah. 

Mereka yang didakwa atas tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah di laman sosial Facebook, mengemukakan permohonan berkenaan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, Jumaat lalu.

Menerusi alasan permohonan yang difailkan itu, mereka mendakwa Hakim Murtazadi Amran melakukan kesilapan kerana tidak membenarkan mereka diikat jamin dan ia bertentangan dengan undang-undang.

Mereka mendakwa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hujah pihak pendakwaan bahawa mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan sama sekiranya diberikan jaminan, adalah tidak berasas.

Mereka berkata, segala peralatan komputer dan elektronik dirampas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sekiranya ada risiko untuk berbuat kesalahan sama, mahkamah boleh menetapkan syarat di dalam jaminan untuk menegahnya.

“Penafian ini hukuman sebelum perbicaraan dan menunjukkan mahkamah menganggap kami bersalah,” kata mereka. - BH

No comments:

Post a Comment