My Add

Thursday 25 July 2013

Kilang kasut musnah terbakar, kerugian jutaan ringgit

NIBONG TEBAL, KHAMIS, 25 Jualai, 2013: Sebuah kilang membuat kasut di Jalan Kilang, di sini, kerugian jutaan ringgit apabila kilang itu musnah dijilat api semalam.

Kebakaran melibatkan 10 gudang produk, tiga bangunan pengeluaran dan dua bangunan pejabat.

"Hanya sebuah bangunan pejabat tidak terbakar," kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat.

Ketika kejadian terdapat 35 pekerja dalam kilang itu dan kesemua mereka sempat menyelamatkan diri.

"Kami menerima panggilan jam 5.01 petang dan enam jentera dengan kekuatan 24 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu. Kami turut dibantu 130 anggota bomba sukarela," katanya.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam selepas kejadian tetapi sehingga pagi ini anggota bomba dan penyelamat masih berusaha memadamkan sepenunhnya kebakaran itu kerana kebanyakan barang dalam kilang berkenaan ialah getah.

Azmi berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana masalah bekalan air dan kedudukan kilang itu agak jauh daripada pili bomba.
Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih disiasat.

Pemilik kilang berkenaan yang enggan dikenali berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang pekerjanya.

"Tiada barang yang dapat diselamatkan, rugi jutaan ringgit," kata lelaki itu.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment