My Add

Sunday 21 July 2013

Aman Palestin rayu sumbangan baik pulih Masjid Al-Aqsa

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

BANGI, AHAD, 21 Julai, 2013: Badan amal membantu rakyat Palestin, Amal Palestin Berhad (Aman Palestin) merayu rakyat Malaysia untuk menyumbang dalam membantu membaik pulih Masjid Al-Aqsa di Tebing Barat, Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut berkata, sehingga kini pihaknya berjaya berkerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di Tebing Barat untuk menyalurkan dana membaik pulih Masjid Al-Aqsa.

"Alhamdulillah, malam ini sahaja kita berjaya mengutip sumbangan RM60, 000 untuk program Iftar Amal Sempena Membaik Pulih Masjid Al-Aqsa.

"Malah sehingga kini kita berjaya menghantar kira-kira RM750,000 ke Palestin termasuk RM320,000 dihantar ke Gaza, RM256,000 ke Masjid Al-Aqsa dan RM96,000 ke khemah-khemah pelarian rakyat Palestin di Lebanon," katanya selepas program Iftar Amal anjuran Aman Palestin dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Hulu Langat di sini malam tadi.

Awang Sufian turut berkata, pihaknya mendapat kerjasama Muasasah Al-Quds, NGO di bawah Syeikh Raed Solah, Baitul Zakat Jenin dan Jamiatul Nisa' Dr. Iqrimah Sobri untuk menyalurkan dana ke Masjid Al-Aqsa.

Ini kata beliau membolehkan NGO-NGO tersebut membeli peralatan pembersihan dan keperluan lain untuk proses membaik pulih Masjid Al-Aqsa.

"Israel sedang berusaha untuk memusnahkan kompleks Masjid Al-Aqsa sejak tahun 1967.

"Jadi, keperluan untuk mengimarahkan Al-Aqsa perlu ada untuk menghalang tindakan itu berterusan. Namun mereka memerlukan dana ekoran rakyat Palestin masih tertindas di negara sendiri.

"Kerjasama yang kita peroleh dengan NGO-NGO di Tebing Barat memudahkan dana disalurkan terus ke Al-Aqsa," katanya.

Terdahulu pada program Iftar Amal itu juga, Isma Cawangan Hulu Langat turut menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada imam Gaza, Sheikh Walid Mustafa Salim.

Selain itu, Aman Palestin turut meraikan 93 anak-anak yatim dari Rumah Amal Belaian Kasih, Ampang dan Rumah Peribadi Mulia, Kajang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Aman Palestin melalui laman web. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment