My Add

Sunday 7 July 2013

APMM selamatkan 3 nelayan Indonesia

LUMUT, SABTU, 06 Julai, 2013: Sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan tiga nelayan warga Indonesia di perairan Lumut - kira-kira 32.5 batu nautika dari barat laut Pangkor di sini petang semalam, selepas hanyut apabila bot mereka kerosakan enjin.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kepten (M) Abdul Razak Johan berkata, ketiga-tiga nelayan itu diselamatkan oleh kapal APMM berpengkalan di sini yang sedang dalam perjalanan untuk operasi dan menyelamat seorang pemancing tempatan yang hilang di laut.

"Kapal APMM menemui bot mereka yang terapung-apung serta terdapat awak-awak dalam keadaan yang tidak bermaya.

"Pemeriksaan mendapati enjin bot mereka rosak dan ketiga-tiga nelayan telah hanyut di laut selama tiga hari tanpa bekalan makanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, bot tersebut berpangkalan di Aceh Tamiang, Acheh manakala ketiga-tiga nelayan itu dikenali sebagai Bransyah, 34; Maad Kurniaan, 23; dan Tengku Darma, 17 tahun.

Kapal APMM kemudian menunda bot terbabit ke jeti perikanan Kampung Acheh di sini bagi tujuan penyerahan kepada Kedutaan Indonesia dan pembaikan enjin bot, katanya.

Beliau berkata, sementara itu, operasi mencari dan menyelamat pemancing warga tempatan yang dikenali sebagai Soon Ah Kin @ Soon Ah Liat, 75, berasal dari Tambun, Ipoh memasuki hari ketiga hari ini.

"Maritim Malaysia menggunakan aset kapal dan pesawat Bombardier CL 415 serta dibantu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam operasi yang akan diteruskan sehingga Isnin ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment