My Add

Sunday 7 July 2013

3,000 dijangka hadir Sidang Kemuncak Keusahawanan Global

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Malaysia menjangka 3,000 usahawan dari lebih 50 negara akan mengambil bahagian pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) ke-4 2013 yang dijadualkan berlangsung 11 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata GES 2013 akan menjadi platform bagi usahawan bertukar-tukar idea dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka.

"GES 2013 diadakan supaya kita dapat memperkasakan usahawan kita dengan pengetahuan dan idea dan ini (GSE) juga akan memberi peluang kepada usahawan Malaysia untuk memajukan perniagaan mereka dengan orang lain dari pelbagai negara," kata beliau pada sidang media selepas melancarkan program D-Code kementerian di sini, hari ini.

Program D-Code itu menandakan pengiraan detik pelancaran GES ke-4, yang tidak sampai 100 hari saja lagi.

Mohd Irwan Serigar berkata GSE 2013 akan menghimpunkan pihak berkepentingan global daripada keseluruhan ekosistem keusahawan untuk berkongsi idea dan amalan terbaik serta membangunkan penyelesaian bagi beberapa isu paling sukar dikawal yang menghalang pertumbuhan perniagaan dan keusahawanan.

Beliau berkata acara antarabangsa itu akan mewujudkan kerjasama perangkaian antara usahawan Malaysia dan usahawan lain yang akan membuka minda peserta.

"Ia (GSE) juga menyediakan perangkaian dan para peserta akan mendapat perspektif baharu yang akan memberi kesan yang berkekalan," katanya dan menambah ia juga akan menampilkan sesi yang memberikan maklumat mendalam mengenai sektor tertentu.

"Akan terdapat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perbankan Islam, pembiayaan dan banyak lagi.

"Penceramah akan berkongsi idea, pengetahuan mereka yang saya pasti para usahawan akan mendapat inspirasi daripada mereka," katanya.

Beliau menyeru usahawan Malaysia supaya mengambil bahagian secara aktif dalam GSE 2013. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment