My Add

Sunday 7 July 2013

Bekalan elektrik mikro hidro diperkenal 2014

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

SUBANG (Jawa Barat), SABTU, 06 Julai, 2013: Kerajaan berhasrat memperkenalkan projek pembinaan bekalan elektrik sistem mikro hidro yang boleh dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat di Malaysia pada tahun hadapan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, projek itu akan diperkenalkan di kampung-kampung kawasan pedalaman bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan elektrik kepada penduduk di kawasan-kawasan itu.

Menurut beliau, hasrat kerajaan memperkenalkan projek itu juga bakal memberi manfaat kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran sungai khususnya di negeri Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata, projek berkenaan akan dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat di kawasan pedalaman dengan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Konsep projek itu, kata beliau, akan memberi pemilikan kepada masyarakat tempatan sebagai pemegang saham selain mengurus dan mengendalikan stesen janakuasa itu sendiri.

"Ini satu konsep yang mana pembekalan elektrik ke luar bandar yang berlandaskan teknologi yang mudah dan penglibatan masyarakat menerusi koperasi misalnya. Ia terbukti berjaya dari segi kos yang rendah," kata beliau kepada wartawan selepas meninjau stesen janakuasa elektrik mikro hidro di Kampung Cinta Mekar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment