My Add

Sunday 21 July 2013

Bekas 'mat rempit' genggam ijazah Universiti Limkokwing

 
PUTRAJAYA, SABTU, 20 Julai, 2013: Siapa sangka Hairul Azwan Zakaria, 24, (gambar) yang pernah bergelar 'mat rempit' dan menguasai jalan-jalan kampung di Felda Sungai Koyan 3, Raub Pahang kini bergelar graduan selepas menamatkan pengajian di Universiti Limkokwing di sini.

Hairul yang berjaya menggenggam segulung ijazah dalam jurusan Filem dan Televisyen itu mengakui ibunya Habsah Hussin, 58, menjadi dorongan utama untuk berubah menjadi insan berguna walaupun sebelum ini pernah menjadi kutu rayau di kampung.

Hairul yang merupakan anak jati Felda Sungai Koyan 3 berkata, semasa di kampung dia terlibat dengan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah termasuk menjadi 'mat rempit' dan menyertai lumba haram.

"Itu semua kenangan silam saya, berlumba pada malam minggu sememangnya menjadi kebiasaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007.

"Apa yang membuatkan saya terdetik untuk menyambung belajar ialah apabila melihat penat lelah ibu mencari rezeki dengan menjadi tukang kebun di sebuah sekolah di Felda Sungai Koyan 3, ketika itu saya menghantar bekal kepada ibu dan saksikan sendiri cara dia bekerja. Dia sanggup buat apa saja untuk anak-anak." katanya.

Hairul berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima ijazah daripada Pengasas dan Presiden universiti tersebut, Tan Sri Lim Kok Wing dalam Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Berkongsi mengenai perjalanan pembelajarannya di Universiti Limkokwing, Hairul berkata, dia pada mulanya mengikuti peringkat Diploma pada 2007 dalam jurusan Filem dan Televisyen dan tamat pada 2009 sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam jurusan sama.

"Saya menamatkan pengajian di Universiti Limkokwing dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.19, walaupun agak rendah saya tetap berbangga dengan pencapaian tersebut," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anak jati Felda, Mas Haryati Baharudin, 21, turut membuktikan status anak Felda bukan penghalang kepada beliau untuk berjaya dalam pelajaran.

Mas Haryati yang mengambil jurusan Diploma Multimedia Pengiklanan dan Penyiaran berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.3 berkata, dia berterima kasih kepada Universiti Limkokwing yang memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pelajaran.

Terdahulu Kok Wing dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 1,360 pelajar tempatan dan antarabangsa berjaya mendapat ijazah dan diploma masing-masing.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Pembangunan Modal Insan oleh Universiti Limkokwing.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Canselor Diraja Universiti Limkokwing, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment