My Add

Sunday 21 July 2013

Jobs Malaysia semakin popular

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
 
 
BESUT, SABTU, 20 Julai, 2013: Seramai 345,062 pencari kerja aktif telah berdaftar dengan laman portal Jobs Malaysia sehingga semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Mutallib berkata, daripada jumlah itu, 187,178 orang daripadanya merupakan golongan siswazah manakala selebihnya tidak mempunyai kelulusan yang tinggi.

Menurutnya, jumlah majikan yang mendaftar untuk mencari calon pekerja melalui portal tersebut sebanyak 242,870 majikan.

"Sejak portal ini diperkenalkan pada 2002, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih daripada 70 juta pelawat telah melayari portal berkenaan dengan anggaran purata sekitar 30,000 pengunjung setiap hari," katanya.

Beliau berucap merasmikan Karnival Pekerjaan Azam Kerja 1Malaysia @ Kuala Besut di Kampung Pachakan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Ir. Dr. Johari Basri; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk K. Selvarajah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Asri Abd. Rahman serta Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, Mohd. Azmi Muhammud.

Karnival sehari yang bermula pukul 9 pagi dengan penyertaan kira-kira 40 majikan termasuk agensi kerajaan, swasta dan perbankan itu berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pencari kerja khususnya di sekitar daerah itu.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, terdapat kira-kira 1,200 kekosongan jawatan yang ditawarkan sempena karnival berkenaan dengan gaji minimum sebanyak RM900 sebulan.

"Kekosongan yang paling banyak ditawarkan pada hari ini ialah dalam bidang teknikal iaitu sebanyak 294 kekosongan manakala jumlah peserta yang mendaftar untuk laman portal Jobs Malaysia ialah seramai 750 orang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment