My Add

Wednesday 24 July 2013

Bekas pekerja ladang parah ditetak


*S. RAMO menunjukkan kesan lapan jahitan di tangan dan enam jahitan di kepala akibat ditetak penjenayah ketika ditemui di Teluk Intan, Perak, semalam.

TELUK INTAN, SELASA, 23 Julai, 2013: Seorang bekas pekerja ladang warga emas parah akibat ditetak di tangan dan kepala oleh dua penjenayah dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Jaya, Padang Tembak dekat sini semalam.

S. Ramo, 73, terpaksa menerima lebih 15 jahitan di tangan kanan dan kepalanya setelah diserang menggunakan sebilah parang panjang dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika kejadian mangsa sedang bersembahyang di ruang tamu rumahnya.

"Dua lelaki tiba-tiba memecah masuk rumah mangsa dan mengarahkannya menunjukkan lokasi dia menyimpan wang.

"Mangsa enggan mengikut arahan itu sebaliknya cuba melawan. Berang dengan tindakannya, salah seorang suspek bertindak menetak tangan dan kepala mangsa menggunakan parang panjang," katanya dalam sidang akhbar hari ini

Menurut Kok Liang, kedua-dua suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan mengambil barang kemas dan wang yang keseluruhannya berjumlah RM10,000.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Honda EX5.

"Mangsa dibawa ke Hospital Besar Teluk Intan untuk menerima rawatan," katanya.

Kok Liang berkata, ketika kejadian isteri warga emas itu berada dalam rumah, namun dia bersembunyi di dalam sebuah bilik selepas menyedari kemunculan penjenayah itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment