My Add

Saturday 6 July 2013

Bekas pengarah CLP saman Bernama, NSTP dan dua lagi

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Bekas pengarah Sijil Amalan Guaman (CLP), Khalid Yusoff hari ini memfailkan saman fitnah terhadap agensi berita kebangsaan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan syarikat penerbitan akhbar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd. (NSTP) berhubung penyiaran satu laporan berita yang disiarkan lima tahun lalu.

Selain Bernama dan NSTP yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, Khalid menamakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun dan pemilik serta pengendali portal The Nut Graph, Insight News Sdn. Bhd. sebagai defendan ketiga dan keempat.

Bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Nizamuddin Hamid & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Khalid pernah didakwa pada 6 Jun 2002 atas dua pertuduhan iaitu memalsukan senarai induk keputusan peperiksaan CLP Julai 2001 dengan niat digunakan untuk menipu dan memperdayakan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia agar meluluskan senarai induk berkenaan.

Pada 24 Julai 2007, plaintif didapati bersalah atas pertuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen di sini dan dihukum penjara tiga bulan.

Bagaimanapun pada 27 Mei 2010, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara tersebut selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Hasan Lah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) sebulat suara menerima rayuan terakhir bekas pengarah CLP itu.

Dalam pernyataan tuntutan bagi kes saman tersebut, Khalid mendakwa, Bernama telah menerbitkan satu laporan berita bertarikh 20 April 2009 bertajuk Court upholds jail term on former CLP Director sebelum disiarkan semula oleh defendan kedua hingga keempat.

Bekas pemangku Setiausaha Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN itu mendakwa berita terbabit yang disiarkan di portal The Nut Graph masih boleh diakses sehingga hari ini.

Plaintif mendakwa daripada keseluruhan berita terbabit, perenggan ketiga laporan tersebut telah mengandungi perkataan yang berbaur fitnah.

Pernyataan yang dikatakan fitnah itu secara langsung atau tidak langsung didakwa telah merosakkan dan menjejaskan reputasi plaintif dan menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur serta amanah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya berserta faedah lapan peratus.

Khalid turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan atau ejen atau melalui apa jua cara daripada mengulangi atau menerbitkan perkataan-perkataan fitnah secara lisan, media percetakan atau internet.

Plaintif turut memohon kos-kos lain kos atau relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment