My Add

Saturday 6 July 2013

Hukuman dua beradik cabul pembantu rumah kekal

PUTRAJAYA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Dua beradik perempuan diperintah oleh Mahkamah Rayuan hari ini menjalani hukuman penjara lima tahun lapan bulan terhadap dua tuduhan mencederakan dan dua tuduhan mencabul kehormatan seorang pembantu rumah warganegara Indonesia, hampir 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh Wong Choy Ling, 42, dan adiknya, Wong Choy Kin, 40.

Kedua-duanya memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang menolak permohonan mereka bagi mendapat kebenaran merayu. Kebenaran Mahkamah Rayuan diperlukan bagi merayu keputusan kes yang bermula di Mahkamah Majistret.

Hakim Ramly ketika memutuskan demikian berpendapat, tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan mereka bagi menyemak keputusan terdahulu.

Pada 23 April lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak menolak permohonan mereka bagi mendapat kebenaran merayu.

Mahkamah ketika itu membenarkan bantahan pendakwa raya selepas bersetuju bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan dalam permohonan itu gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 50(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (COJA).

Dengan keputusan itu, panel bersidang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap kesalahan mencabul kehormatan dan lapan bulan terhadap kesalahan mencederakan mangsa.

Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan balas pendakwa raya dengan menambah hukuman daripada dua tahun kepada lima tahun bagi kesalahan mencabul.

Mahkamah mengekalkan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan bagi kesalahan mencederakan mangsa. Hukuman diperintah berjalan berturut-turut.

Pada 13 Oktober dua tahun lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan mencederakan dan dua tahun bagi kesalahan mencabul. Hukuman diperintah berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dua beradik itu dituduh secara berasingan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun.

Kejadian berlaku di rumah No. 38, Jalan BS 5/17A, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada pukul 9 malam, pada November 2003 dan September 2004.

Choy Ling dan Choy Kin juga menghadapi tuduhan bersama mencabul mangsa dengan memasukkan pisang dan hujung botol minuman 100 plus ke dalam kemaluannya di rumah yang sama pada waktu siang, sekitar Julai 2004.

Dua beradik itu turut didakwa mencabul gadis tersebut dengan memasukkan biskut ke dalam kemaluannya di tempat dan waktu sama pada 20 September 2004.

Mereka diwakili oleh peguam-peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Rajpal Singh manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment