My Add

Thursday 18 July 2013

Bengkel bergerak PLUS atasi penipuan trak tunda

PETALING JAYA, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Perkhidmatan bengkel bergerak 'Workshop on Wheels' atau WOW yang diperkenalkan syarikat konsesi lebuh raya, PlUS Malaysia Berhad (PLUS), dapat mengurangkan aduan penipuan trak tunda dan bengkel terhadap pengguna lebuh raya itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, setelah hampir setahun WOW diperkenalkan, perkhidmatan itu memberi kesan positif apabila jumlah aduan berkurangan.

"PLUS menerima 42 aduan antara 2011 hingga Sept 2012 berhubung kegiatan penipuan itu namun pada Oktober lepas, setelah perkhidmatan WOW diperkenalkan, PLUS hanya menerima lima aduan setakat ini," katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Perkhidmatan WOW diperkenalkan oleh PLUS pada 22 Oktober lepas dan ia merupakan satu daripada usaha berterusan syarikat itu dalam memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa pada setiap masa.

Beliau berkata, 17 pasukan WOW yang beroperasi 24 jam di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Linkedua berjaya menyelesaikan 3,387 kes kerosakan kenderaan sejak diperkenalkan.

"Sebaik menerima maklumat daripada pengguna, pasukan PLUSRonda akan diarahkan ke lokasi dan anggota pasukan itu akan memeriksa, membuat penilaian dan cuba membaiki kerosakan kenderaan tersebut. Sekiranya kerosakan tidak dapat dibaiki, pasukan itu akan menghubungi semula Pusat Kawalan Trafik sebelum unit WOW dikerah ke lokasi untuk memberikan bantuan seterusnya," katanya.

Antara perkhidmatan asas yang diberikan oleh WOW ialah menunda kenderaan ringan (Kelas 1) ke plaza tol, kawasan rehat atau hentian sebelah yang terdekat, memeriksa dan membaiki kerosakan kecil diberikan secara percuma kepada pengguna lebuh raya yang menghubungi PLUSLine 1800-88-0000 atau menggunakan telefon kecemasan di sepanjang lebuh raya.

WOW juga menyediakan perkhidmatan membaiki dan menukar alat ganti kenderaan antaranya bateri kereta dan radiator dengan kadar caj yang berpatutan serta dikendalikan di lokasi selamat di lebuh raya tanpa perlu keluar dari kawasan lebuh raya dan membayar kos tundaan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment