My Add

Wednesday 3 July 2013

Beri perhatian terhadap keupayaan Bumiputera

GEORGETOWN, RABU, 03 Julai, 2013: Kerajaan Negeri Pulau Pinang diminta memberi perhatian terhadap keupayaan Bumiputera dalam aspek pemilikan hartanah dan pendapatan bulanan isi rumah yang masih rendah berbanding kaum lain di negeri ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengurangkan jurang tersebut dalam memastikan kedudukan Bumiputera setara dengan kaum-kaum lain.

"Kerajaan negeri perlu atasi kelemahan ini kerana kalau disebut soal milikan harta Bumiputera hanya memiliki 2 peratus sahaja berbanding kaum-kaum lain sedangkan populasi Bumiputera adalah 51 peratus di negeri ini.

"Jurang tersebut juga jelas dalam pendapatan (bulanan) isi rumah sejak 1999 hingga 2012 iaitu kaum Cina memperolehi pendapatan RM6,300, India pula sebanyak RM5,230 manakala Bumiputera hanya RM4,457," katanya ketika membahaskan usul ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus lebih peka dan bertanggungjawab untuk memastikan rakyat negeri ini dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan yang sama.

Selain itu, Jahara berkata, kerajaan negeri juga perlu memberi tumpuan terhadap pembinaan rumah kos rendah yang masih belum berada di tahap memuaskan.

"Pembinaan rumah kos rendah ini perlu dibina dengan menepati kehendak rakyat kerana ketika ini banyak rumah kos rendah dibina lebih daripada lima tingkat yang mana ia kurang diminati orang kampung khususnya," katanya. 

Jahara turut menasihatkan barisan kepimpinan kerajaan negeri agar tidak terlalu sombong dan bongkak selepas berjaya memperoleh mandat kali kedua, sebaliknya menggunakan peluang itu untuk memperbaiki kelemahan.

"Bila ada kuasa mutlak haruslah berhati-hati supaya tidak guna kuasa itu untuk manipulasi rakyat dan buat pembohongan, jangan mengelirukan rakyat...," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment