My Add

Monday 22 July 2013

Bukit Rambai, Cheras catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Bukit Rambai di Melaka dan Cheras, di Kuala Lumpur mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu masing-masing 111 dan 101, sehingga pukul 3 petang ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya memaklumkan peningkatan bacaan indeks IPU pada bacaan tidak sihat di Bukit Rambai dan tahap sederhana di beberapa kawasan lain adalah dipengaruhi jerebu merentasi sempadan.

Peningkatan bacaan IPU di Cheras disebabkan pencemar ozon di permukaan bumi, yang lazimnya berlaku di awal petang akibat tindak balas oksid-oksid nitrogen dan sebatian organik meruap daripada pelepasan ekzos kenderaan bermotor yang membentuk ozon di permukaan bumi.

Beberapa kawasan lain yang mencatat bacaan IPU tahap sederhana termasuk Bandaraya Melaka (88), Pelabuhan Klang, Selangor (91) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (79).

Menurut kenyataan itu, terdapat lima titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Johor (empat) dan Sarawak (satu).

Musim Monsun Barat Daya dengan cuaca panas dan kering yang dialami negara bermula Jun lepas dijangka berterusan sehingga awal Oktober ini.

Menurut JAS, semua perintah larangan terbuka masih berkuat kuasa sehingga kini, kecuali bagi beberapa aktiviti iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di tanah gambut.

Pengawasan rapi mengenai status kualiti udara di seluruh negara akan terus dilaksanakan oleh JAS selain mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment