My Add

Friday 26 July 2013

Bukti rakyat yakin pemimpin BN

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

KOTA KINABALU, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut membuktikan keyakinan rakyat kepada barisan kepemimpinan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Sapawi Ahmad berkata, BN bukan sahaja dapat menambah majoriti dalam PRK tersebut, malah membuktikan barisan kepemimpinan muda parti itu diterima baik oleh masyarakat.

Katanya, kemenangan itu juga memperlihatkan sokongan padu rakyat terhadap barisan kepemimpinan BN yang mampu meneruskan agenda pembangunan berterusan, selain mempertahankan kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara.

"Ketika pasukan UMNO Sabah turun membantu jentera parti di Kuala Besut, kita sudah melihat petanda positif masyarakat terhadap sokongan tidak berbelah-bahagi kepada parti ini dan perkara itu telah dibuktikan semalam menerusi kemenangan kepada calon BN," katanya di sini hari ini.

Mengulas tentang sumbangan UMNO negeri dalam PRK tersebut, Sapawi berkata, UMNO Sabah turut menghantar rombongan bagi membantu calon BN di pusat daerah mengundi (PDM) Seberang Barat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh UMNO Sabah ternyata membantu calon BN untuk mencatatkan kemenangan di PDM tersebut dengan majoriti 353 undi.

Jelasnya, calon BN memperoleh 805 undi bagi kawasan PDM tersebut manakala Pas 452 undi.

"Ini merupakan satu keputusan yang membanggakan kepada jentera UMNO Sabah yang turut sama turun padang. Kami berpuas hati dengan keputusan yang dicapai di kawasan yang dibantu oleh jentera UMNO negeri," katanya yang merupakan Pengarah Kempen UMNO Sabah ke Kuala Besut.

Tambahnya, apa yang lebih menarik apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut turun padang dan membantu kempen calon BN di PDM tersebut.

"Pendekatan yang kita lakukan ialah terus mendampingi rakyat dan menerangkan segala usaha yang dilakukan oleh BN dalam membela nasib orang ramai, agama, bangsa dan negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment