My Add

Sunday 14 July 2013

Buktikan berdaya maju - PM

Oleh HERMAN HAMID

 * NAJIB Tun Razak menyampaikan dividen kepada penerima selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen RISDA dan Pelancaran Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPek) Peringkat Nasional di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di Pekan, Pahang, semalam. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI
PEKAN, SABTU, 13 Julai, 2013; Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pekebun kecil melibatkan diri dengan aktiviti yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi bagi memastikan tahap pendapatan mereka menjadi lebih tinggi.

Menurut Perdana Menteri, selain itu, langkah sedemikian mampu menjadikan sektor pekebun kecil berdaya saing, produktif dan dinamik sekali gus mampu memberi galakan kepada generasi baharu untuk terlibat dalam sektor ini.

Kata beliau, jika sektor pekebun kecil terus di takuk lama, maka generasi baharu akan lebih berminat untuk tinggal di bandar dan bekerja dalam sektor perkhidmatan termasuk di restoran makanan segera.

''Saya mahu sarankan supaya pekebun kecil selain produktif iaitu tahu urus kebun dengan urus tadbir dan amalan baik, kita juga mesti memikirkan pekerjaan yang mempunyai nilai tambah.

''Inilah cara ke hadapan kalau kita tidak mahu terus berada di takuk lama. Kemunculan generasi baharu menuntut pekebun kecil perlu membuktikan sektor ini berdaya maju, kalau tidak, saya percaya mereka lebih berminat tinggal di bandar dan bekerja dalam sektor perkhidmatan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dividen RISDA dan Pelancaran Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GeMPek) Peringkat Nasional di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Tambah Najib, salah satu daripada punca negara atau pun individu terus berpendapatan rendah ialah apabila kekal sebagai pengeluar komoditi tanpa melibatkan diri dengan kegiatan nilai tambah ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, ini seperti yang berlaku di negara-negara Afrika apabila mereka tertumpu sebagai pengeluar pelbagai jenis komoditi termasuk permata tetapi rantaian pasaran masih dikuasai oleh syarikat multinasional yang bukan milik mereka.

Sedangkan, kata beliau, negara-negara Afrika itu hanya boleh maju jika dapat memecahkan cengkaman syarikat multinasional terhadap ekonomi mereka.

''Namun kita, alhamdulillah telah berjaya melangkah lebih jauh lagi berbanding negara-negara Afrika. Saya baru pulang dari Tanzania, pendapatan rakyat mereka AS$1,500 setahun tetapi kita telah cecah AS$10,000.

''Ada negara Afrika merdeka seusia dengan kita, tetapi mereka tertinggal jauh ke belakang. Faktornya kompleks, tetapi salah satu ialah dasar yang diperjuang tidak dapat mengubah struktur ekonomi di Afrika dengan syarikat multinasional terus menguasai rantaian ekonomi dan pasaran.

''Ini menyebabkan daripada AS$10, mereka hanya dapat satu atau dua dolar Amerika tetapi AS$8 dapat ke syarikat-syarikat ini. Ini adalah kisah di Afrika, bukan di negara kita. Cuma saya nak sebut, kalau pekebun kecil tak terlibat dalam kerja lain yang boleh memberi pulangan lebih tinggi, maka pergantungan sebagai pengeluar sahaja tak akan menjamin tahap pendapatan lebih tinggi," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment