My Add

Sunday 14 July 2013

Najib ajak rakyat hargai nikmat keamanan

PEKAN, SABTU, 13 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam di negara ini wajar bersyukur dan rasa bertuah kerana nikmat keamanan dan kestabilan yang dikecapi dari dahulu hingga kini membolehkan mereka menjalani ibadat di bulan Ramadan dengan tenang.

Menurut Perdana Menteri, keadaan seperti itu tidak dirasai sebahagian besar umat Islam lain di seluruh dunia terutama di Asia Barat yang berada dalam keadaan sangat meruncing berikutan negara tidak diuruskan dengan baik dan tersusun terutama dari segi siasah dan politik.

"Oleh itu, marilah kita sama-sama mengimarahkan bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya agar kita mendapat ganjaran sebaik-baiknya daripada Allah SWT.

"Sebagai umat Islam di Malaysia kita perlu rasa amat bersyukur dan bertuah kerana kita dapat menyambut Ramadan dengan penuh keamanan dan boleh mengerjakan seberapa banyak ibadat mengikut kemampuan dengan tenang," katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Gugusan Felda Chini, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 126 warga emas di gugusan tersebut.

Yang hadir sama, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Najib, keamanan dan kestabilan yang dimiliki Malaysia tidak wujud di kebanyakan negara Islam lain.

Beliau mengambil contoh pergolakan di Mesir akibat perebutan kuasa serta di Syria yang menyaksikan berjuta-juta umat Islam menjadi pelarian selain masa depan tidak menentu.

"Di Iraq, Afghanistan dan Palestin seperti Semenanjung Gaza serta banyak tempat lain, umat Islam berada dalam keadaan tidak tenteram dan mereka terpaksa melalui ujian Ramadan dalam situasi keselamatan yang tidak terjamin.

"Tetapi, alhamdulillah di Malaysia kita dapat menjalani ibadat puasa, mencari rezeki halal dengan baik dan kita dapat melihat masa depan dengan penuh rasa keyakinan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment