My Add

Thursday 11 July 2013

Calon Pas pertama kali berbaiah di hadapan umum

KUALA BESUT, RABU, 10 Julai, 2013: Buat pertama kali, Pas meminta calonnya melakukan baiah (bersumpah) secara terbuka dalam majlis ceramah dan pengumuman calon di sini, malam tadi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang akan berlangsung 24 Julai ini.

Langkah di luar kelaziman itu dilakukan Azlan @ Endot Yusof, selepas diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon merebut kerusi tersebut yang diharap dapat dikuasai bagi memberi harapan kepada parti berkenaan kembali mentadbir negeri Terengganu.

Menurut Abdul Hadi, kebiasaannya calon Pas berbaiah dengan membaca ikrar di hadapan wakil Majlis Syura Ulama.

"Namun, saya diwakilkan malam ini untuk meminta Azlan berbaiah yang disaksikan umum.

"Biasanya amalan ini dibuat dalam bilik tetapi hari ini, kita buat di tengah padang dan saya meminta supaya calon kita ikut apa yang akan saya baca nanti," katanya ketika berucap dalam ceramah itu.

Walau bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menjelaskan mengapa perbuatan itu dilakukan secara terbuka serta sama ada kandungan baiah tersebut sama sebagaimana yang pernah dilafazkan calon-calon Pas sebelum ini.

Azlan, 48, yang merupakan ahli perniagaan akan menentang calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan bekas jurutera awam, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, dalam PRK tersebut.

Sementara itu, lafaz baiah tersebut berbunyi:

"Bahawa saya Azlan Endot Yusof berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasulnya serta patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.

"Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ADUN adalah haram dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk meletakkan jawatan dari menjadi ADUN apabila saya keluar atau dipecat dari parti dan Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini."

Dalam ceramahnya, Abdul Hadi berkata, ketika masyarakat Cina dan orang Melayu terutama di kawasan bandar memberi sokongan padu kepada Pas dan pakatan pembangkang, orang Melayu di kampung dan tidak berpengetahuan masih memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment