My Add

Thursday 25 July 2013

Chong Wei tidak gentar serangan psikologi Lin Dan

SEPANG, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak gentar dengan serangan psikologi yang bakal dicetuskan pencabarnya dari China, Lin Dan, dalam misinya merangkul kejuaraan sulung pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, 5 hingga 11 Ogos ini.

Bagi pemain berpengalaman negara itu, taktik psikologi yang dilancarkan musuh ketatnya itu dan beberapa pemain terkemuka lain bukanlah perkara baharu, sebaliknya beliau yakin dengan persiapan rapi serta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kejohanan yang mampu melakar kejayaan untuk beliau.

"Taktik psikologi yang sering digunakan China bukan masalah bagi saya...

yang penting fokus kepada perlawanan. Kali ini saya lebih yakin untuk beraksi berbanding Kejohanan Dunia sebelum ini.

"Saya juga berpuas hati dengan persediaan kali ini. Selepas pulang daripada menyertai Terbuka Indonesia (bulan lepas), saya memang memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan bagi menghadapi kejohanan ini.

"Saya mempunyai pengalaman beraksi di Guangzhou, jadi tiada tekanan kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini sebelum berlepas ke Hong Kong.

Chong Wei bersama-sama 28 pemain Malaysia lain berlepas ke Hong Kong untuk menjalani latihan fasa akhir selama 10 hari sebelum ke Guangzhou.

Turut hadir di KLIA ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Pengurus Besar BAM Kenny Goh.

Chong Wei turut mengharapkan sokongan daripada peminat badminton tempatan untuk menaikkan semangat beliau dan rakan sepasukan untuk meraih kejayaan pada kejohanan berprestij itu.

Pemain nombor satu dunia itu juga berharap Liew Darren dan Chong Wei Feng menggunakan peluang beraksi di Guangzhou sebagai platform menimba pengalaman berharga untuk menghadapi kejohanan penting tahun depan seperti Piala Thomas, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Wei Feng dan Darren, mereka bukan junior lagi. Umur mereka sudah 26 tahun dan mereka perlu guna peluang di Guangzhou sebaik-baiknya bagi mendapatkan lebih banyak pengalaman. Peluang meraih kejuaraan di Kejohanan Dunia memang susah, tetapi saya harap mereka termasuk pemain junior lain dapat memberi aksi terbaik dengan mara ke suku akhir atau separuh akhir," katanya.

Pada kejohanan Dunia 2011 di London, Chong Wei tewas kepada Lin Dan di pentas akhir.

Sementara itu, pemain beregu utama negara, Koo Kien Keat yakin beliau dan pasangannya Tan Boon Heong dapat membuktikan kemampuan mereka untuk meraih kejuaraan pada kejohanan itu.

"Saya akan memberi yang terbaik dan buktikan kepada semua bahawa kami masih boleh dipercayai untuk menggalas cabaran di Guangzhou. Sasaran saya ialah menjadi juara. Bagi saya kalau hanya mara ke akhir tetapi tidak menjadi juara, tidak memberi apa-apa makna," kata Kien Keat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment