My Add

Thursday 18 July 2013

CTRM lengkapkan bisnes auto, pertahanan DRB Hicom

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Cadangan pengambilalihan Composite Research Technology Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) oleh DRB-Hicom Bhd. akan melengkapkan perniagaan pertahanan dan automotif konglomerat itu, kata Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Kamil Jamil.

Beliau berkata, syarikat itu merancang menggunakan kepakaran CTRM dalam bahan komposit dan memperluas penyertaan dalam industri automotif dan pertahanan.

"Kami merancang meluaskan perniagaan CTRM dalam penerbangan, selain industri aeronautik dan menggabungkannya dengan perniagaan industri pertahanan.

"Peluang juga terbuka untuk industri komposit dalam perniagaan automotif dan pertahanan yang merupakan satu bidang, yang saya jangkakan kita dapat tingkatkan dalam CTRM," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke agensi berita nasional itu pada Rabu.

Mohd. Kamil bagaimanapun berkata, rancangan menyepadukan perniagaan pertahanan itu tidak bermakna CTRM akan hilang tumpuan dalam industri penerbangan.

"Ia lebih kepada melengkapkan, selain meluas dan meningkatkan peluang-peluang perniagaan CTRM," katanya.

Kamil juga memberi jaminan bahawa perniagaan penerbangan akan terus menjadi perniagaan teras CTRM.

"Kami akan tingkatkan dan memastikan kami mengembangkan perniagaan itu," katanya.

Minggu lepas, unit milik penuh DRB-Hicom, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech), merancang mengambil alih 96.87 peratus saham dalam CTRM, yang kini dipegang oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, membabitkan sejumlah RM298.26 juta. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment