My Add

Thursday 25 July 2013

Dapatkan bekalan ayam dari pusat sembelihan halal

JOHOR BAHARU, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menasihati peruncit dan pembeli supaya mendapatkan bekalan ayam di pusat penyembelihan yang disahkan halal.

Ini bagi menggelakkan keraguan kerana terdapat pusat penyembelihan yang tidak menepati hukum syarak, kata Penolong Pengarah Operasi JAIJ, Ramly Jusoh.

Beliau berkata, hasil pemantauan menerusi operasi bersepadu di lima premis penyembelihan di sini mendapati terdapat jurusembelih yang tidak bertauliah.

Malah katanya, terdapat orang bukan Islam yang melakukan aktiviti sembelihan di premis berkenaan selain daripada keadaan premis yang kotor.

"Kita terima aduan dripada orang ramai terdapat beberapa pusat sembelihan di Johor Baharu ini yang mana penyembelihan tidak menepati syarat antaranya tiada jurusembelih bertauliah, premis kotor dan menggunakan pekerja asing serta orang bukan Islam sembelih," katanya dalam operasi pemantauan bersepadu pusat penyembelihan dengan pelbagai agensi di sekitar Johor Baharu malam tadi.

Ramly juga meminta agar pusat penyembelihan menghantar jurusembelih mereka menghadiri kursus sembelihan bagi mendapat tauliah sembelihan yang sah.

Johor mempunyai 248 jurusembelih diiktiraf yang bekerja di 16 premis penyembelihan dan 11 pusat penyembelihan yang disahkan halal.

Operasi itu disertai Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen, polis, Jabatan Veterinar dan Majlis Bandaraya Johor Baharu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment