![]() |
| Othman Mustapha |
Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kolej Universiti Perubatan Sains Cyberjaya (CUCMS) bagi melaksanakan program Pensijilan Tahfiz Al-Quran yang melibatkan para pelajar jurusan perubatan.
Usaha sama itu, katanya, adalah susulan daripada kejayaan Jakim melaksanakan program sama dengan pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Dengan wujudnya kerjasama ini, kita berharap dapat melahirkan lebih ramai generasi huffaz yang berkemahiran dan serba boleh.
"Ini merupakan suatu perkembangan yang membanggakan apabila semakin banyak pihak mula mengorak langkah ke arah memartabat al-Quran dan melahirkan generasi muda berjiwa al-Quran demi kesejagatan ummah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen Darul Quran Kali Ke-22, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohamad Nordin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Awang Khalid Mat Ali dan Pengarah Darul Quran, Zawanah Muhammad.
Dalam majlis tersebut, seramai 505 graduan dikurniakan Sijil Tamat Pengajian Program Ijazah, Diploma Tahfiz Al-Quran, Sijil Tahfiz Al-Quran, Sijil Tinggi Taranum Al-Quran dan Sijil Tahfif Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP).
Menurut Othman, Jakim turut mengalu-alukan mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta untuk mengadakan kerjasama dengan Darul Quran bagi menawarkan tempat kepada pelajar-pelajarnya menyambung pelajaran terutama dalam bidang berbeza.
"Sekarang ini kita lihat bidang teknokrat atau muamalat mendapat permintaan yang tinggi dalam golongan pelajar. Kalau ada universiti hendak menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar Darul Quran ini, mungkin lebih banyak pakar ekonomi atau sebagainya yang hafaz al-Quran dapat dilahirkan," katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, Darul Quran sedang dalam proses dinaik taraf sebagai sebuah kolej universiti dan dijangka dapat direalisasikan menjelang hujung tahun ini. - UYUSAN

No comments:
Post a Comment