My Add

Monday 8 July 2013

Pelajar terbaik mahu berbakti di Darul Quran

 * MUHAMMAD Nazreen Abd. Rahman berkongsi kegembiraan dengan ibunya, Aminah Hassan setelah menerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam majlis Konvokesyen Darul Quran di Dewan Muktamar Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, semalam.
HULU SELANGOR, AHAD, 07 Julai, 2013: Penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam majlis Konvokesyen Darul Quran Kali Ke-22 di sini hari ini, Muhammad Nazreen Abd. Rahman, 21, berhasrat untuk terus berbakti di institusi pengajian tahfiz al-Quran itu sebagai pensyarah.

Anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu berkata, kehidupan sepanjang mengikuti pengajian selama tiga tahun di Darul Quran telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan begitu bermakna buat dirinya.

Hal demikian, katanya, membuatkan dia berasa 'berat' untuk meninggalkan Darul Quran walaupun berjaya menamatkan pengajian dalam Diploma Tahfiz Al-Quran.

"Saya berasa sangat teruja dapat masuk Darul Quran kerana memang impian saya untuk menghafal al-Quran dan bila dapat peluang ini, saya manfaatkan sebaik-baiknya.

"Kehidupan di sini sangat seronok dan sukar untuk melupakan detik-detik manis mengikuti pengajian di sini. Jika diberi peluang, memang saya ingin terus berbakti di sini," katanya yang merancang menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Muhammad Nazreen, dia menjadikan 'qiamullail' antara amalan untuk memudahkannya menghafal al-Quran kerana ibadat pada lewat malam itu dapat membersihkan hati.

"Ayat-ayat al-Quran adalah suci. Kalau hati kotor, mana mungkin benda yang suci dapat masuk ke dalamnya. Jadi jika mahu menghafal al-Quran, bersihkan dulu hati kita," ujarnya yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, salah seorang penerima Anugerah Khas, Siti Fatimah Mohamed, 26, berasal dari Jeli, Kelantan berkata, dia berdepan cabaran kekurangan bahan rujukan dalam tulisan Braille untuk mendapatkan Diploma Tahfiz Al-Quran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment