My Add

Friday 12 July 2013

Dua wanita Indonesia ditangkap seludup dadah

Oleh AZELI ALI

BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Dalam tempoh dua hari berturut-turut, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah ke negeri ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dengan tertangkapnya dua wanita warga Indonesia.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, modus operandi kedua-dua wanita tersebut seakan-akan sama apabila mereka masuk ke negara ini secara transit di Hong Kong selepas melakukan penerbangan dari New Delhi, India.

Menurutnya, wanita pertama berusia 32 tahun ditahan kira-kira pukul 9.30 malam, Selasa lalu di Balai Ketibaan LTAPP oleh Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi yang dibawa wanita itu, kami menemui empat bungkus plastik mengandungi kristal lutsinar yang tersimpan di ruang khas bagasi dibawa suspek.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kristal itu adalah dadah jenis syabu seberat tiga kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM570,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, dalam kejadian kedua, seorang lagi penumpang warganegara Indonesia berusia 25 tahun bersama bagasi ditahan di Balai Ketibaan LTAPP pada pukul 9.20 malam tadi.

Katanya, pemeriksaan ke atas bagasi tersebut menemui bungkusan berwarna coklat yang mengandungi dadah jenis syabu.

"Dadah seberat 6.16 kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.17 juta itu ditemui tersimpan di dalam satu ruang khas yang dibuat pada beg itu.

"Pihak JKDM masih menyiasat sama ada kedua-dua wanita terbabit menjadi keldai dadah atau untuk dijual sendiri di negeri ini," ujarnya.

Kedua-dua mereka kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment