My Add

Monday 15 July 2013

  Guan Eng minta Dr Subramaniam siasat dakwaan doktor bersikap rasis

GEORGETOWN, ISNIN, 15 Julai, 2013:: Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam menyiasat kesahihan dakwaan tiga doktor yang bersikap rasis dan tidak memberi perkhidmatan baik kepada pesakit di sebuah hospital kerajaan di negeri ini.

Beliau berkata jika dakwaan itu benar, tiga doktor terbabit perlu dipecat dan lesen perubatan mereka harus dibatalkan.

"Namun, sekiranya tuduhan tersebut adalah tidak benar, saya kira adalah wajar untuk Datuk Seri Dr (Subramaniam) tampil memberikan pembelaan sewajarnya demi membersihkan imej para doktor bukan sahaja berbangsa Cina tetapi semua doktor berdasarkan etika profesionalisme dan moraliti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini hospital kerajaan dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan itu.

Katanya kerajaan negeri juga mahu mendapatkan kepastian berhubung dakwaan berkenaan jika aduan dibuat di peringkat atasan.

"Saya menimbulkan perkara ini kerana saya telah menerima aduan bukan sahaja daripada warga doktor tetapi juga para pesakit yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap permainan perkauman yang dilihat sungguh membahayakan," katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal bulan ini menyaksikan pertikaman lidah antara RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dan Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) berhubung isu perkauman.
Kedua-dua wakil rakyat berkenaan bertelagah setelah Rayer mendakwa Roslan cuba mencetuskan isu perkauman apabila mengutarakan mengenai isu tiga doktor berbangsa Cina yang tidak dapat memberi perkhidmatan baik kepada pesakit Melayu di sebuah hospital kerajaan berikutan 'tsunami Cina' pada pilihan raya umum ke-13.

Lim ketika menggulung perbahasan ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN turut meminta pembangkang di negeri ini mengemukakan bukti terhadap dakwaan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment