My Add

Sunday 21 July 2013

Fasa pertama Santuari Gajah Borneo siap dengan bantuan institusi Jepun

KOTA KINABALU, AHAD, 21 Julai, 2013: Badan amanah Borneo Conservation Trust (BCT) sudah menyiapkan fasa pertama Santuari Gajah Borneo (BES) bernilai RM1.8 juta menerusi hasil bantuan institusi Jepun seperti Asahiyama Zoo, Suraya, Hunting World, Tokio Marine, NTT Data Kirin, Taiseh dan Yusen Logistic.

Bantuan ini seperti yang dijelaskan Ketua Pemuliharaan dan Kajian BCT, Raymond Alfred dilakukan di bawah projek 'Ongaeshi' iaitu memberi balik kepada alam.

Pembangunan fasa pertama ini mengandungi kandang gajah, kuarters pekerja dan bangunan simpanan yang siap pada 28 Jun lalu.

Sehubungan pelaksanaan fasa pertama, pembangunan fasa kedua sudah pun bermula yang menelan kos antara RM25 juta hingga RM30 juta di kawasan seluas 25 hektar dan dijangka siap penghujung tahun ini.

"Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah memperuntuk dana RM5.2 juta untuk fasa kedua ini. Ketika ini MPOC merupakan pembiaya terbesar untuk projek BES di Sabah dan ia turut memberi sumbangan dalam menyediakan pelan induk BES di Lot 8 Santuari Hidupan Liar Kinabatangan," kata Raymond.

Beliau berkata, sumbangan dan sokongan MPOC sangat bermakna kerana projek ini turut membabitkan penerokaan tanah, rundingan dengan syarikat kelapa sawit yang mengerjakan tanaman di kawasan berkenaan, masyarakat setempat dan jabatan kerajaan berkaitan.

"Namun keseluruhan pembangunan pelan induk koridor ini yang meliputi kawasan dari Lot 8 itu ke Batu Putih dan Hutan Simpan Segaliud Lokan dijangka memakan kos lebih RM60 juta," katanya.
Raymond berkata, pada masa yang sama pihaknya turut memerlukan bantuan kerajaan negeri dan persekutuan.

Bagi Pengarah Hidupan Liar Sabah, Datuk Laurentius Ambu, santuari ini boleh menampung antara 12 hingga 16 gajah pada satu-satu masa.

Ia antara lain akan merawat gajah yang cedera sebelum dilepas semula di hutan dan kawasan pemeliharaan yang berhampiran, katanya.

Selain itu santuari ini akan turut menjadi pusat persinggahan untuk merawat beruang madu, monyet proboscis, orang utan, kucing hutan dan seladang.

"Peranan utama santuari ini ialah untuk menyokong pelakasanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah di Sabah dan memberi rawatan dan penjagaan terhadap gajah yang tercedera.

"BES akan turut berfungsi sebagai pusat pendidikan dan menyemai kesedaran mengenai program pemuliharaan gajah yang kawasan habitat mereka telah diambil untuk kegunaan lain," kata Laurentius. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment