My Add

Monday 22 July 2013

Fatimah rayu bantu dua anak

 * WAN Norazman Arifin (kanan) menyampaikan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada keluarga Fatimah Zulkifly (dua dari kiri) di rumahnya di Air Itam, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG, AHAD, 21 Julai, 2013: "Dulu dia sanggup berhenti sekolah untuk memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

"Tetapi sekarang kehidupan kami menjadi gelap semula apabila dia lumpuh setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya Mac lalu."

Itu luahan seorang ibu tunggal, Fatimah Zulkifly, 32, apabila anak sulungnya, Zaki Anuar Mohamed Abbas, 16, kini terlantar di kerusi roda selain kehilangan sebahagian tempurung kepala dalam kemalangan itu.

Tidak cukup dengan itu, anak perempuannya, Fahima, 10, juga seringkali bertanya bila dia akan dimasukkan semula ke sekolah selepas diberhentikan dua tahun lalu akibat masalah kewangan.

Menurut Fatimah, dia kini bingung dan tidak tahu bagaimana mahu menguruskan keluarganya, tambahan pula dia tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga Zaki.

Jelasnya, dia kini hanya bergantung dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk menguruskan keluarganya.

"Sudah lama kami tidak menikmati juadah yang seimbang, air kosong menjadi makanan kami sekeluarga ketika berbuka puasa.

"Dahulu anak lelaki sayalah yang menjadi pelindung utama kami kerana setelah berhenti sekolah, dia mengambil upah dengan menjadi kelindan lori dan menanggung kami selepas suami meninggalkan saya dan anak-anak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Menurut Fatimah, bantuan yang diperoleh daripada JKM tidak cukup bagi menampung kos seharian mereka termasuk kos perubatan Zaki.

"Kami terpaksa membeli lampin pakai buang Zaki sebanyak RM200 sebulan, sewa rumah sebanyak RM250 sebulan dan juga kos ubatan hampir RM200 dan ini tidak termasuk duit untuk keperluan makanan kami sekeluarga.

"Bukan itu saja, Zaki juga memerlukan RM5,000 untuk kos perubatan dan pembedahan yang perlu dilakukan lagi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Aduan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bahagian Utara, Wan Norazman Arifin hadir bagi menghulurkan bantuan awal buat keluarga berkenaan.

Norazman berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu lebih prihatin dengan nasib penduduk bandar yang hidup dalam kemiskinan.

Dalam perkembangan sama, Norazman memberitahu, pihaknya telah menghubungi JKM dan Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi memohon bantuan untuk keluarga ini.

"Dua agensi itu akan mengkaji semula peruntukan bantuan kepada keluarga ini, selain itu saya juga akan berjumpa dengan Jabatan Pelajaran Negeri untuk memastikan anak perempuannya dapat meneruskan persekolahannya," katanya.

Mereka yang ingin membantu Fatimah boleh menghubunginya di talian 016-4557435 atau salurkan sumbangan melalui akaun CIMB bernombor 07130084062523. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment