My Add

Monday 22 July 2013

Gabung tiga parti rumit - Fah Kui

Oleh ZAAIN ZIN

KUCHING, AHAD, 21 Julai, 2013: Usaha menggabungkan Gerakan, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menjadi satu parti baharu berasaskan kaum Cina sukar direalisasikan kerana ketiga-tiga parti membawa wadah perjuangan yang berbeza.

Presiden SUPP, Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, MCA merupakan parti khusus untuk kaum Cina manakala Gerakan membuka keahlian kepada sesiapa sahaja dan SUPP adalah parti berbilang kaum yang terbuka kepada masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera di Sarawak.

"Rumit untuk merealisasikan perkara ini kerana kita semua berbeza agenda, bukan untuk masyarakat Cina sahaja. Mewakili masyarakat berbilang kaum adalah perkara pokok bagi SUPP yang tidak akan berubah sampai bila-bila. Ahli Parlimen tunggal kita, Datuk Richard Riot pun berketurunan Bidayuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, parti itu, MCA dan SUPP akan mengadakan perbincangan rasmi tentang pembentukan satu parti baharu yang berasaskan kaum Cina.

Perbincangan yang julung-julung kali diadakan itu menjurus kepada kepentingan mewujudkan satu entiti parti kaum Cina menggabungkan kesemua parti Cina dalam Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Fah Kui menyifatkan cadangan tersebut sebagai 'cakap-cakap' sahaja, namun beliau bersedia menghadiri sebarang perbincangan secara lebih serius mengenai cadangan penggabungan itu.

"Saya boleh berbincang (perkara penggabungan) secara rasmi jika ada yang menjemput, tetapi kalau boleh, apa kata kita bincangkan juga cara bagaimana mahu memperkuatkan parti masing-masing. Saya sendiri sebagai Presiden SUPP pun mahu cari jalan memperkuatkan parti kita," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment