My Add

Wednesday 10 July 2013

Geng pecah rumah dicekup semasa khayal

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR, SELASA, 09 Julai, 2013: Satu kumpulan pecah rumah di daerah ini dan Melaka bukan sahaja berjaya ditumpaskan malah tugas itu 'mudah' kerana ketika serbuan, kesemua lima ahli kumpulan itu termasuk seorang remaja perempuan sedang khayal dipengaruhi dadah.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Jalan Salleh di sini semalam, polis turut merampas pelbagai barang hasil kegiatan jenayah kumpulan itu bernilai RM70,600.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob, polis merampas beberapa barangan kes di kediaman itu iaitu sebuah kereta Proton Waja yang dicuri awal tahun ini di Kandang, Melaka, 10 peket kecil dipercayai dadah jenis syabu, 10 biji pil Eramin 5, satu unit komputer riba dan enam telefon bimbit.

"Selain itu, kita juga merampas peralatan pecah rumah antaranya empat bilah parang, sebilah kapak, dua topeng muka dan satu besi pengumpil termasuk barang-barang seperti satu lesen memandu dan tiga kad kredit," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, suspek utama berusia lingkungan 30-an merupakan seorang peniaga buah-buahan manakala suspek kedua, ketiga dan keempat, masing-masing berusia 20-an dan remaja perempuan berusia 16 tahun yang tidak bersekolah dan menganggur.

Azman memberitahu, suspek pertama dan keempat yang mengusahakan katering mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kedua-duanya pernah disabitkan kesalahan pada 2009.

"Semua suspek positif mengambil dadah jenis syabu dan direman bermula hari ini sehingga Isnin depan. Polis sedang mengesan sama ada terdapat saki-baki anggota kumpulan ini yang bebas dan juga berapa lama kegiatan ini sudah dilakukan," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment