My Add

Sunday 7 July 2013

Graduan Aspire 2013 nak tarik 20,000 pengunjung

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Pameran kerjaya dan pasca ijazah, GRADUAN Aspire 2013, menjangka menarik lebih 20,000 pengunjung, peningkatan daripada 18,800 tahun lepas, berikutan penyertaan beberapa syarikat terkemuka.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan acara itu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, pameran itu menerima lebih 15,000 pendaftaran secara dalam talian setakat ini.

"Pameran dua hari itu yang bermula hari ini boleh memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan kita kerana ia berfungsi sebagai pemadan bagi syarikat dan pelajar universiti," katanya.

GRADUAN Aspire 2013 disokong oleh Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi serta Talent Corp Malaysia, dan antara syarikat terkemuka yang menyertainya termasuklah Maybank, Dell, Proton, UEM Group, PwC Malaysia dan Celcom Axiata.

Elia Talib, Pengarah Urusan penganjur acara GRADUAN berkata calon-calon terpilih akan diberi peluang menjadi pelatih kepada ketua pegawai eksekutif utama Malaysia dalam program “GRADUAN Apprentice - Aspire 500 Conference" pertama negara.

"Calon yang disenarai pendek akan berdepan di pusingan penyingkiran, secara langsung semasa acara itu, dan mereka akan mempersembahkan ucapan mengapa mereka adalah pelatih yang ideal bagi setiap juri CEO kami," katanya.

Juri-juri CEO itu ialah CEO Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar; Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan; Rakan Kongsi Urusan PwC Malaysia, Sridharan Nair; CEO Tune Talk, Jason Jonathan Lo; dan CEO Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment