My Add

Thursday 11 July 2013

Guna steroid bina otot bahaya

 DR. MOHD. NAHAR
PENGGUNAAN steroid untuk ‘suka-suka’ ternyata boleh mengundang penyakit berbahaya seperti nasihat pakar perubatan dan pakar kesihatan.
 Benarkah tanpa steroid yang dianggap ‘pil ajaib’ itu, hasrat golongan belia yang mengimpikan tubuh berotot tidak akan kesampaian?
Bagaimana pula caranya untuk tampil menawan sekali gus sihat tanpa pengambilan ubat terkawal itu? Ikuti laporan siri kedua dan terakhir steroid yang disediakan oleh SHARILFUDDIN SAARI, ANGELINA SINYANG DAN AZRAI MOHAMMAD.

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Seorang pakar perubatan merumuskan penggunaan steroid tanpa preskripsi doktor seperti untuk membina otot adalah bahaya dan boleh memberi kesan sampingan yang serius sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Pensyarah Kanan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Mohd. Nahar Azmi Mohamed berkata, malangnya tidak ramai mengetahui kesan pengambilan steroid itu antaranya darah tinggi, sakit jantung dan strok.

Beliau yang juga Ketua Perubatan Sukan Universiti Malaya memberitahu, kesannya boleh terjadi kepada kedua-dua jantina iaitu lelaki berisiko menghidap masalah kesuburan iaitu bilangan sperma berkurangan, mati pucuk dan buah zakar akan mengecil.

“Bagi wanita pula, penggunaannya akan mengubah bentuk fizikal kepada lelaki dengan menunjukkan ciri-ciri seperti bermisai, berbulu kaki dan suara lebih garau. Dan seterusnya untuk jangka panjang mereka boleh mengalami masalah darah tinggi, strok dan serangan jantung," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan meningkatkan aktiviti fizikal seperti bersenam tetapi malangnya penyalahgunaan steroid telah merencatkan hasrat tersebut.

Beliau berkata, selain itu, media massa yang sering memaparkan gambar pelakon barat dan tempatan di muka hadapan yang bertubuh sasa dan digilai ramai wanita mempengaruhi golongan muda untuk mendapatkan bentuk badan sedemikian.

“Masyarakat digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat tetapi tanpa khidmat nasihat yang betul mereka boleh terjebak dengan cara salah," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment