My Add

Thursday 11 July 2013

Gubal Akta Pembangunan Kecergasan Kebangsaan

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Seorang konsultan gimnasium yang juga bekas Ahli Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Dr. Lee Chee Peng mencadangkan supaya kerajaan menggubal Akta Pembangunan Kecergasan Kebangsaan bagi membendung penggunaan steroid yang menyalahi peraturan.

Beliau berkata, akta itu sebelum ini pernah disuarakan Datuk Seri Azalina Othman pada 2008 ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Menurutnya, akta itu yang meliputi aktiviti sukan melibatkan kecergasan, rekreasi dan gimnasium penting dalam memastikan semua pusat latihan kecergasan dan gimnasium di negara ini didaftarkan manakala jurulatih pula memiliki lesen sah.

"Ini bagi mengelakkan sebarang nasihat dan tunjuk ajar daripada jurulatih atau instruktor yang tidak bertauliah kepada mereka yang ingin menyertai bidang kecergasan sama ada untuk kesihatan atau sukan.

"Apatah lagi dengan menggunakan steroid kononnya boleh meningkatkan prestasi. Ini amat bahaya dan boleh menjejaskan peluang negara untuk mencapai misi membawa pulang emas di Olimpik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Chee Peng yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan dan Konsultan Institut Sukan Negara berkata, penggunaan steroid mula dikesan di negara ini sejak 1983 sedangkan di negara maju telah dipantau ketat sebelum diharamkan penggunaannya pada 1987.

Beliau berkata, kerajaan juga sedar bahaya penggunaan steroid namun maklumatnya tidak sampai di peringkat bawah khususnya ahli gimnasium yang mudah terpengaruh untuk menggunakannya sebagai jalan pintas bagi membina otot.

"Tanpa disedari penggunanya berisiko untuk mendapat serangan jantung, darah tinggi dan kerosakan organ dalaman yang serius," ujarnya yang berpengalaman menjadi penasihat teknikal kepada pengasas Mr. Olympia, Joe Weider selama tiga tahun.

Beliau yang turut berpengalaman selama 25 tahun mengajar kecergasan bermula daripada program Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan sehinggalah dilantik sebagai penasihat kepada Azalina mengakui ramai ahli gimnasium khususnya golongan belia lelaki yang terjebak dalam penggunaan steroid.

"Saya tidak katakan semua gimnasium terlibat tetapi hasil pemantauan dan maklumat yang diterima, senario itu amat membimbangkan malah tidak keterlaluan kalau saya katakan boleh merosakkan imej sukan bina badan sendiri," katanya yang berharap kerajaan mengambil langkah serius menangani penyalahgunaan steroid. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment