My Add

Thursday 25 July 2013

Guru besar SK Sri Pristana buat laporan polis

Oleh BORHAN ABU SAMAH

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Noor di Sungai Buloh, hari ini membuat laporan polis kerana merasakan dia telah difitnah berhubung isu muridnya makan di bilik sekolah itu beberapa hari lalu.

Laporan polis itu di Balai Polis Saujana Utama pada pukul 11 pagi ini.

Mohamad Nasir ketika dihubungi Utusan Online berkata, beliau membuat laporan polis kerana kecewa dengan sikap ibu bapa murid dan beberapa pihak lain yang menfitnahnya sebagai bertindak secara tidak bertamadun.

"Saya menerima panggilan telefon yang mencerca dan termasuk mengugut berikutan fitnah tersebut," katanya.

Sebuah blog sebelum ini melaporkan murid-murid bukan beragama Islam di sekolah berkenaan telah ditempatkan di tandas sewaktu rehat pada bulan Ramadan.

Laporan itu telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Sedangkan menurut Mohamad Nasir, beliau telah menempatkan murid-murid di bilik persalinan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Ini adalah kerana kantin sekolah berkenaan kecil dan tidak mampu memuatkan jumlah murid yang ramai.

"Pada sebelah pagi matahari memancar terus ke kawasan kantin dan murid-murid tidak mahu makan di kawasan berkenaan kerana panas dan mereka makan di tepi longkang.

"Saya lihat tempat berkenaan tidak bersih, jadi saya tempatkan mereka di bilik persalinan yang kebetulan tidak digunakan sepenuhnya," katanya.

Ini adalah kerana kata beliau, murid-murid jarang menggunakan bilik persalinan kerana mereka dibenarkan memakai pakaian sukan jika terdapat mata pelajaran jasmani atau aktiviti kokurikulum.

Pada masa yang sama beliau telah meletakkan notis melarang murid-murid membuang air di bilik berkenaan dan paip air di bilik berkenaan telah dikunci.

Apatah lagi kata beliau, bilik berkenaan telah dibersihkan dan mempunyai sinki untuk digunakan bagi mencuci tangan sebelum makan.

Dalam pada itu Mohamad Nasir memberitahu, beliau diarahkan supaya bercuti rehat selama seminggu dan sebarang tindakan oleh Jabatan Pelajaran akan diputuskan selepas itu. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment