My Add

Thursday 25 July 2013

Tahap kesejahteraan keluarga belum memuaskan

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Tahap kesejahteraan keluarga di negara ini masih belum memuaskan apabila kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati ia hanya berada pada tahap sederhana.

Ketua Pengarah LPPKN, Dr. Siti Norlasiah Ismail berkata, berdasarkan kajian pertama yang dibuat pada 2011 itu mendapati tahap kesejahteraan dalam soal ekonomi mendapat skor paling rendah manakala dari segi agama dan kerohanian pula mencatat skor tertinggi.

"Melalui hasil kajian ini, kita harap penambahbaikan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan bagi menyumbang kesejahteraan keluarga terutama soal ekonomi keluarga yang menyaksikan kelemahan terhadap ‘Tabung Masa Depan’.

"Justeru, kita sarankan agar aspek kewangan keluarga perlu dimantapkan dengan dasar yang mesra keluarga, termasuk dengan bantuan pihak majikan," katanya pada taklimat kepada media berhubung kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2011, di pejabatnya di sini hari ini.

Kajian itu dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu dari segi ekonomi, agama dan kerohanian, hubungan kekeluargaan, kesihatan, keselamatan, komuniti dan persekitaran dengan skor satu adalah paling rendah dan 10 tertinggi dengan purata markah keseluruhan berada pada tahap tujuh.

Katanya, kajian itu telah dijalankan ke atas 2,808 buah isi rumah yang melibatkan sejumlah 5,616 orang responden iaitu masing-masing 1,484 lelaki, wanita (1,324) dan remaja berusia 13 hingga 24 tahun sebanyak 2,808 orang.

Dr. Siti Norlasiah berkata, Dasar Keluarga Negara perlu diguna pakai oleh semua agensi terbabit untuk membantu individu menjadi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab, berkemahiran dan mantap dalam menguruskan rumah tangga serta keluarga. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment